May 18, 2024

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi mahu memantau tindakan seterusnya wanita mendakwa kekasih Aliff Aziz, iaitu Sarah Yasmine terutama kemungkinan mahu mencari peluang kerja dalam projek seni di Malaysia, selepas mencetuskan apa yang disifatkan ‘huru-hara’.

Zed berkata, SENIMAN sedia menentang hasrat Sarah untuk menembusi pasaran hiburan di Malaysia mengikut saluran betul, selepas kontroversi dicetuskan wanita terbabit.

“Kita lihat nanti apa yang saya akan buat jika ada cubaan sedemikian (Sarah cari peluang kerja seni). Perkara ini sudah jadi isu lain. Saya cukup pantang kalau buat kontroversi, kemudian hendak jadi artis.

“Kalau timbul perkara sebegitu, saya akan siasat. Belum berlaku, tapi mungkin boleh berlaku. Jadi, perlu hormati undang-undang di negara ini,” katanya.

Zed berkata, perkara seperti itu perlu dielak kerana ia membuka ruang kepada individu bermasalah lain untuk turut mendapat tempat dalam dunia seni tempatan.

“Saya juga tak pasti apa yang Sarah mahukan. Adakah populariti atau ada masalah lain? Jangan tiba-tiba nanti ada penerbit mahu ambil berlakon disebabkan kontroversi yang dia buat.

“Nanti akan buka ruang kepada orang yang buat kontroversi untuk jadi artis. Adakah industri kita semudah itu? Kalau jadi begitu, saya akan masuk campur. 

“Saya akan pastikan Sarah ikut saluran betul dengan perlu mendapatkan lesen atau mengikut garis panduan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL),” katanya.

Baru-baru ini, SENIMAN menggesa Sarah berhenti mengeluarkan kenyataan atau mengambil tindakan yang dianggap boleh mengeruhkan keadaan hingga menjejaskan imej dan kredibiliti industri kreatif.

Setiausaha Agung SENIMAN, Mohd Hafiz Mohd Nafiah dilapor berkata, sejak tercetus kontroversi Aliff dan Ruhainies ditangkap khalwat dan pendedahan dibuat Sarah, pelbagai pihak membuat andaian yang sedikit sebanyak menjejaskan imej dan kredibiliti industri hiburan tanah air.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *