May 18, 2024

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa enggan mengesahkan atau menafikan kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya, Dr Zaliha yang juga Ahli Lembaga Pengampunan hanya bertindak mengunci mulut ketika diajukan persoalan berkenaan.

Beliau kemudiannya meminta semua pihak merujuk ulasan yang sudah diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara itu, baru-baru ini.

“Dah ada from (dari) Datuk Seri (Anwar), you just follow (anda hanya ikut) apa yang Datuk Seri dah sebut itu, nothing more from me (tiada apa dari saya),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini, hari ini.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Shah Alam pada 21 April lalu, menegaskan sebarang keputusan berhubung Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan tahanan di rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mesti diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan. 

Perdana Menteri berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan berkenaan, biarpun ditohmah dan dilempar dengan pelbagai kritikan kononnya tidak berbuat apa-apa. 

Pada 1 April lalu, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16. 

Titah Adendum itu supaya bekas Perdana Menteri terbabit menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah. 

Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit selaku ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu. 

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights, pada 30 Januari lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *