May 18, 2024

KUALA LUMPUR: Watak Sharifah Qaidah dalam drama Lelaki Itu yang berakhir siarannya di TV3, kembali melonjakkan nama pengacara, pelakon dan penyanyi, Che Puan Sarimah Ibrahim, sekaligus melakar ‘comeback’ buat dirinya selepas 16 tahun berehat.

Pelakon berdarah kacukan Ireland-Melayu ini tidak menyangka drama bersiri terbitan dan skrip dihasilkan Erma Fatima itu akan tular dan mencetuskan fenomena hingga merekodkan capaian 1.13 bilion dalam media sosial.

“Saya ambil tempoh setahun untuk buat persiapan daripada aspek mental dan fizikal termasuk ke gimnasium sebelum memulakan penggambaran drama Lelaki Itu.

“Berbekalkan persediaan rapi, saya bersyukur dapat beri lakonan terbaik dan berkesan sekali gus drama itu juga mendapat sambutan luar biasa,” katanya yang kali terakhir berlakon pada 2015.

Mengulas watak Qaidah, kata Sarimah, dia terima tawaran Erma kerana tertarik dengan watak berkenaan.

“Selepas baca skrip Lelaki Itu, saya tertarik dengan watak itu. Pada masa sama, saya mahu bekerja dengan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra dan Nur Fazura.

“Watak Qaidah juga mencabar kerana ia membabitkan pelbagai emosi iaitu marah, sedih dan macam-macam lagi apabila dirinya ditipu kawan baik dan suaminya sendiri serta kehidupannya juga hancur,” katanya.

Sarimah berkata, pada mulanya dia menyangka dirinya akan dibenci penonton kerana watak antagonis itu.

“Saya berharap Lelaki Itu akan memberi kesedaran kepada ramai wanita untuk ambil tahu dan peka mengenai hak masing-masing dalam rumah tangga.

“Selepas Lelaki Itu, saya juga ada dapat beberapa tawaran berlakon filem dan drama dan nampak ada watak ditawarkan yang sehebat Qaidah,” katanya.

Lelaki Itu yang selesai ditayangkan sebanyak 30 episod di Slot Samarinda TV3, pada 29 April lalu.

Selain Sarimah, Adi dan Nur Fazura, drama arahan Along Kamaluddin dan Nur Ain Sharif itu dibintangi Nabila Huda, Hannah Delisha, Aedy Ashraf, Nadia Brian, Sophia Albarakbah, Shaharuddin Thamby dan Ameerul Asyraf.

Sarimah berkahwin dengan Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, iaitu cucunda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10, Almarhum Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman 2 April 2015.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Tunku Sofia Najihah yang berusia lima tahun.

Sarimah berkata, dia kembali berlakon kerana minatnya yang sangat mendalam dalam industri hiburan sejak 1996.

“Sebelum ini, saya menyepikan diri sekejap dalam lakonan kerana fokus pada bidang pengacaraan dan deejay radio serta membina keluarga.

“Selepas anak saya, Sofia sudah besar sikit, baru saya putuskan kembali untuk mengubat rindu pada bidang lakonan.

“Saya juga bertuah kerana suami dan keluarga mentua sangat menyokong minat dan memberi restu untuk saya terbabit dalam bidang hiburan sejak dahulu,” katanya.

Mengenai pengurusan karier seni pula, kata Sarimah, dia kini bernaung di bawah agensi lakonan Fiona Cross Management berpangkalan di London, United Kingdom (UK).

“Fiona Cross adalah agensi pengurusan bakat yang terbabit dalam industri komersial, teater, filem dan televisyen (TV) antarabangsa.

“Karier seni di sini pula diuruskan pengurus Shawn Amer (daripada Mask Team),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sarimah mengambil kursus lakonan dengan Gerry Grennell dari UK pada 2022 hingga 2023 sebagai persediaan untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.

“Saya harap dapat memberi satu kelainan dari segi lakonan kerana kita kena bergerak mengikut masa dan selera penonton global seperti Netflix dan sebagainya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *