May 18, 2024

KUALA LUMPUR: Langkah mereka masih hijau dalam dunia muzik, namun kontroversi dan kecaman rancak diterima kumpulan penyanyi wanita yang menggelarkan diri sebagai The Gadys ini.

Selepas tular video memaparkan mereka menyanyi sumbang menerusi lagu medley Cintaku Sampai Ke Ethiopia nyanyian asal Ria Resty Fauzi, Cinta Sampai Mati (Raffa Affar) dan Gadis Dan Bunga (Rahimah Rahim) pada Anugerah KNKV Viral 2024 pada Februari lalu, The Gadys tak habis-habis terima kecaman.

The Gadys dianggotai Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamiera Chan menjadi perhatian apabila dilihat bergelut menyanyikan ketiga-tiga lagu berkenaan yang menjadikan detik memalukan itu terus diingati sehingga sehingga kini.

Kejadian itu juga dilihat memberi tanggapan kurang baik apabila rata-rata menyifatkan The Gadys tidak boleh menyanyi, bersuara sumbang dan perlu mencari bidang lebih sesuai dengan bakat dimiliki.

Menyingkap kesan video tular itu, Ayunie mendakwa menerima komentar meminta mengambil langkah menamatkan riwayat kerana dianggap sebagai perosak industri muzik.

“Kami rasa antara komen paling berat pernah diterima bila disuruh menamatkan riwayat hidup. Kami ada bukti tangkap layar berkenaan.

“Macam yang pernah diperkatakan sebelum ini, kalau hendak kutuk mengenai suara, kami akui ia adalah kekurangan diri. 

“Tetapi, untuk suruh seseorang melakukan perkara di luar kewarasan fikiran 

bukanlah komen yang bagus. 

“Kalau betul ada yang ikut, bagaimana? Tidakkah netizen yang melemparkan komen rasa bersalah?,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Ayunie berkata, mereka memilih tidak memanjangkan perkara berkenaan dengan menghebahkan atau membuat laporan polis, sebaliknya memilih terus melangkah.

“Kami tak buat laporan polis, cuma kecewa dengan komen sedemikian. Tapi, kami bersyukur ramai lagi sentiasa memberi semangat. 

“Kami akan terus maju ke depan sebab selagi dilayan ia akan beri kesan buruk kepada kami,” katanya.

Dengan kecaman hebat diterima, Ayunie memberitahu sudah pasti ia memberi kesan kepada seluruh anggota kumpulan, namun cuba untuk terus positif dengan semua perkara dilalui.

Biarpun ada meminta untuk berundur meninggalkan kerjaya nyanyian, Ayunie menegaskan, mereka hadir sebagai penghibur dan akan terus memperbaiki kekurangan diri.

“Kami hanya manusia biasa, tentunya ada rasa sakit hati dan sedih kalau netizen berterusan mengecam. Tapi, penghinaan boleh dijadikan pembakar semangat.

“Untuk mereka yang mengutuk boleh tengok video-video persembahan lama atau lagu-lagu kami, Alhamdulillah semuanya baik sahaja. 

“Kami tak kata sudah bagus dan sedar bukanlah dalam kalangan penyanyi profesional. 

“Tapi, kami hadir menghiburkan kerana sedar dalam industri muzik kami versatil seperti pandai berlakon, menyanyi dan menari. 

“Jadi, kalau hendak tahu lebih lanjut perkembangan The Gadys boleh tengok dalam media sosial,” katanya.

Sementara itu, mengulas keluar masuk ahli dalam The Gadys, Aznie berkata, tidak timbul sebarang sengketa sesama mereka, malah terus menyokong apa sahaja pilihan bekas anggota.

“Anggota The Gadys yang keluar kerana mahu fokus karier sendiri terlebih dahulu, tapi sejujurnya kami tak bergaduh. 

“Hubungan kami baik-baik sahaja dan masih berhubung seperti biasa. Baru-baru ini, kami ada berbuka puasa bersama.

“Masing-masing ada pilihan sendiri dan kami sentiasa menyokong apa sahaja perkara yang ingin dilakukan.

“Kami bukan sahaja anggota The Gadys, tapi berkawan baik, jadi tiada istilah bermasam muka atau marah dengan tindakan yang diambil. Kami akan sentiasa menyokong,” katanya.

Tambah Aznie, buat masa ini, tiada sebarang pertambahan ahli dan cukup 

bergerak secara bertiga sahaja.

Terdahulu, The Gadys mengumumkan pengunduran dua ahli asal, Nelissa Nizam dan Faa Zaini, tahun lalu.

The Gadys mengambil ahli baharu, Thamiera yang juga anak saudara kepada penyanyi Stacy Anam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *