May 18, 2024

Kuala Lumpur: “Kemas kini terbaharu daripada pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor adalah, nama mak saya, Norhayati Abd Aziz, berusia 62 tahun, masih pemilik sah geran tanah di Semenyih,” kata pelakon, Amar Baharin.

Menurut Amar, 39, dia tidak akan berhenti untuk mendapatkan jawapan daripada pihak berkuasa susulan isu sebidang tanah milik ibu bapanya di Semenyih, Selangor yang didakwa ada dua geran berbeza.

“Daripada minggu lalu sehingga Jumaat saya muat naik hantaran di media sosial, seorang pegawai PTG Selangor sentiasa buat kemas kini kepada saya.

“Pegawai berkenaan maklumkan yang mana dia mahu siasat kenapa ada pertindihan atas nama emak saya. Disebabkan Sabtu dan Ahad adalah hari cuti, jadi saya tunggu lagi semalam dan hari ini, tapi masih senyap. Saya tetap akan terus bertanya dan menunggu apa hasil siasatan mereka.

“Saya tanya apa status pihak yang sudah membuat rumah atas tanah emak saya itu, dia juga belum jawab. Begitu juga persoalan adakah mereka akan gantikan tanah emak saya, itu pun masih belum ada jawapan,” katanya.

Menurut Amar, dia mempunyai alasan tersendiri kenapa setiap jawapan yang diberikan pihak berkenaan akan dikongsi di laman sosial. 

“Saya memang akan kemas kini di media sosial sebab tidak mahu mereka diam dalam meneruskan siasatan. Biar mereka buat kerja.

“Pada masa sama, saya mahu warganet dan orang ramai tahu perkembangan isu ini. Sebab ada ramai juga yang melalui kes sama macam emak saya ini. Jadi, mereka nak tahu proses yang perlu dibuat,” katanya.

Terdahulu, Amar berkongsi rentetan kisah geran tanah milik keluarganya yang mempunyai dua geran berbeza di media sosial untuk mendapatkan jawapan bagaimana ia boleh berlaku dan mempersoalkan ia kesilapan siapa.

Isu dibangkitkan Amar turut mendapat perhatian Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, yang mahu PTG berkaitan melakukan siasatan menyeluruh membabitkan dakwaan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *