May 18, 2024

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang meneruskan cabaran mereka terhadap pengharaman filem kontroversi itu.

Ini selepas mahkamah membenarkan permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh pengarah filem itu, Mohd Khairianwar Jailani dan penerbitnya, Tan Meng Kheng.

Dengan kebenaran yang diberikan, hakim Amarjeet Singh akan menetapkan tarikh berasingan bagi mendengar hujah lisan mengenai merit semakan kehakiman tersebut.

Semasa prosiding hari ini, peguam persekutuan Sallehudin Md Ali membantah permohonan berkenaan dengan menegaskan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengharamkan filem itu tidak boleh dipertikaikan secara undang-undang.

Mentega Terbang diterbitkan pada 2021 tetapi dilarang tayangannya pada tahun lalu.

“Kami membantah kerana perintah larangan itu tidak tertakluk kepada semakan kehakiman,” kata peguam kepada kedua-dua responden yang dinamakan iaitu KDN dan kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili penerbit dan pengarah filem itu, Zaid Malek menegaskan bahawa perintah larangan yang dikeluarkan kementerian boleh dipertikaikan di mahkamah dalam keadaan luar biasa.

Amarjeet kemudian memberikan kebenaran dan menetapkan 14 Feb depan untuk pengurusan kes semakan kehakiman.

Pada Disember tahun lepas, Mohd Khairianwar dan Tan memfailkan permohonan untuk menarik balik larangan ke atas filem berkenaan.

Mentega Terbang mengisahkan tentang Aishah yang berusia 15 tahun, tertarik untuk memahami konsep kelahiran semula dalam ajaran agama lain selepas kematian ibunya.

Filem itu juga memaparkan bapa Aishah membenarkan anak perempuannya mempelajari kitab suci agama lain untuk mencari jawapan.

Pada 17 Jan lalu, Khairianwar dan Tan didakwa di Mahkamah Majsitret Kuala Lumpur atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain melalui penglibatan mereka dalam pembikinan filem tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *