May 18, 2024

SHAH ALAM – Mewujudkan ekonomi unggul dan pendidikan berkualiti menjadi tekad pertama gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk ditawarkan kepada pengundi di negeri Selangor untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.

Buku berkenaan yang diberi tajuk ‘Tawaran Kita Selangor, 5 Tekad Untuk 5 Tahun’ dilancarkan semalam oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu majlis di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam malam tadi.

Beliau berkata tawaran yang diberikan akan dilaksanakan jika gabungan PH-BN berjaya membentuk kerajaan selepas hari mengundi nanti.

Kerajaan itu, katanya nanti akan menjadi kesinambungan pimpinan negeri terdahulu untuk diteruskan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sehingga menjadikan Selangor sebagai negeri perpaduan yang mengetengahkan kestabilan, menjaga keharmonian, makmur, maju dan moden serta tidak ketinggalan menjaga rakyat dengan baik, semuanya mendapat nikmat,” katanya.

Antara tawaran yang menarik perhatian dalam ucapan Amirudin malam tadi ialah perancangan kerajaan negeri untuk mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Ia dikatakan mampu dilaksanakan kerana dalam penggal lepas ada kira-kira 89,000 pekerjaan berjaya ditawarkan menerusi pelbagai program yang dianjurkan kerajaan negeri pada masa itu.

Amirudin berkata gabungan itu juga berhasrat mewujudkan jaringan laluan rel seperti MRT dan LRT untuk menghubungan Klang ke Kuala Selangor dan Tanjong Karang ke Sabak Bernam.

Beliau yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N16 Sungai Tua turut menjanjikan sambungan laluan KLIA Ekspress sehingga ke Tanjong Sepat dan Sungai Pelek, Sepang.

Melalui tekad pertama itu juga, beliau mengumumkan hasrat kerajaan negeri nanti untuk menawarkan peluang latihan industri (internship) dengan bayaran bulanan RM1,500 sebulan untuk kira-kira 2,000 orang muda di negeri Selangor.

“Lima Tekad, 52 tawaran ini akan segera kita laksanakan dengan mandat rakyat Selangor dalam PRN pada 12 Ogos ini.

“Ini tekad kita untuk rakyat Selangor sepanjang lima tahun akan datang. Ini adalah janji dari semua calon PH-BN Selangor dan seluruh pasukan kita untuk membawa Selangor sebagai negeri stabil, maju, aman, harmoni dan menjadi juara di Malaysia serta Asia Tenggara,” katanya.

Amirudin yang juga Pengerusi PH Negeri Selangor berkata program yang direncanakan itu adalah untuk kestabilan serta kemakmuran Selangor menerusi tekad kerajaan negeri untuk lima tahun kegemilangan negeri itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *