May 18, 2024

Segamat: Wanita maut selepas bumbung sebuah sekolah berhampiran diterbangkan ribut dan menghempap kediamannya di Kampung Tahang Rimau di sini, semalam.

Dalam kejadian 7.40 malam itu, mangsa maut dikenali sebagai V Mahadevi, 55.

Komander operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Abd Rahim Rahmat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung runtuhan bumbung Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Seg Hwa di sini, 7.41 malam.

Beliau berkata, bumbung itu diterbangkan angin dan menghempap kediaman mangsa yang terletak bersebelahan sekolah berkenaan.

Susulan itu katanya, mangsa dibawa keluar dari rumahnya dengan bantuan orang awam sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) Segamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, kes diklasifikasikan mati mengejut.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Segamat ketika dihubungi berkata, ribut petang semalam turut menjejaskan struktur bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat.

Katanya, kawasan paling teruk terjejas adalah di Mukim Sungai Segamat, membabitkan 20 keluarga dari Kampung Tahang Rimau, Kampung Jawa dan Kampung Tengah.

Menurutnya, kira-kira 15 kediaman terjejas di Mukim Gemereh dan Mukim Pogoh dan beberapa gerai peniaga juga dipukul ribut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *