May 18, 2024

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilantik sebagai bendahari Umno Selangor.

Umno Selangor dalam kenyataan memaklumkan pengerusinya Megat Zulkarnain Omardin turut melantik Abdul Mutalif Abdul Rahim sebagai setiausaha Umno negeri dan Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain sebagai ketua penerangan Umno negeri.

Pelantikan itu dibuat semasa mesyuarat pertama Umno Selangor semalam, selepas pemilihan parti selesai pada 18 Mac lepas.

Mesyuarat itu juga mengambil ketetapan iaitu Umno Selangor akan terus mendukung kerajaan perpaduan dan komited untuk memastikan keutuhan kerjasama dalam kerajaan ini demi kestabilan negara.

Menurut kenyataan itu, Umno Selangor mengambil maklum perjalanan Sekretariat Kerajaan Perpaduan dan akan mewujudkan Jawatankuasa Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri dalam masa terdekat serta mengadakan program bersama pimpinan kerajaan negeri.

Selain itu Umno Selangor turut memutuskan rangka kerja dalam penyediaan jentera di setiap peringkat dan memulakan gerakan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta meneruskan perundingan bersama PH Selangor dalam menentukan pengagihan kerusi-kerusi bagi menghadapi PRN.

Mesyuarat tersebut juga menyatakan bahawa Umno Selangor sebulat suara bersetuju dan telah menandatangani memorandum untuk memohon agar kepimpinan tertinggi parti membela bekas presiden Najib Razak yang banyak berjasa kepada negara.

-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *