May 18, 2024

TIBA-tiba Naib Presiden UMNO, Johari Ghani mengeluarkan kenyataan di hadapan beberapa orang wartawan bahawa “UMNO bukan milik Zahid dan juga Najib”.

Semua ahli UMNO tahu bahawa parti politik ini tidak dimiliki oleh individu atau kelompok tertentu. Kenapa Johari tiba-tiba mengeluarkan kenyataan seolah-olah masih tidak berpuas hati dengan sokongan akar umbi kepada Najib walaupun beliau kini sudah memasuki bulan ke-7 di penjara Kajang?

Johari juga nampak cuba menafikan majoriti ahli UMNO masih menaruh keyakinan terhadap Zahid sebagai Presiden UMNO walaupun pihak yang berkepentingan politik peribadi cuba melabelkan Zahid sebagai kluster mahkamah.

Apa niat Johari apabila mengeluarkan kenyataan seperti ini di hadapan wartawan? Adakah kerana penguasaan beliau di dalam Media Prima yang membolehkan beliau mendapat ruang lingkup yang luas untuk memanggil wartawan pada bila-bila masa?

Adakah satu kebetulan apabila kenyataan Johari yang bersifat provokatif itu sama dengan tajuk propa Utusan Malaysia berhubung petisyen terhadap pengampunan Najib dan persetujuan Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengadap YDP Agong atas tujuan yang sama?

Tiba-tiba isu petisyen kumpulan anti pengampunan Najib dijadikan tajuk besar Utusan Malaysia dan beberapa portal anti UMNO. Bukankah petisyen ini telah berjalan sejak 8 bulan yang lalu dan mereka cuba menampakkan bahawa ianya berlaku di dalam sehari dua ini?

Kalau betul Johari adalah pemegang saham terbesar Media Prima, beliau sepatutnya bertindak mengawal pekerjanya dari membuat serangan gerila bertali arus terhadap UMNO dan BN.

Nampak gaya Presiden dan ahli UMNO tertipu dengan Johari?

Jangan guna media untuk kepentingan peribadi. Ahli UMNO bukan bodoh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *