May 18, 2024

YB Jailani Khamis, Exco Pelancongan, warisan dan kebudayaan Melaka tiba-tiba mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya bagi seorang yang bertaraf sedemikan.

Kenyataan liar Adun Rembia bahawa Ketua Menteri yang bakal mengangkat sumpah jawatan esok sebagai “Ketua Menteri pintu belakang” jelas membuktikan beliau tidak mampu berfikir secara matang dan waras.

Kerajaan negeri Melaka tertubuh dengan mandat rakyat yang besar iaitu majoriti 2/3 pada pilihanraya negeri yang lalu. Keabsahan kerajaan negeri bukan terhasil daripada perbuatan melompat parti dengan mengecewakan pengundi tetapi melalui proses pilihanraya yang sah.

YB Jailani Khamis sendiri antara Ahli Dewan Undangan Negeri yang melompat meninggalkan Pakatan Harapan(PH)yang menyebabkan kerajaan negeri pimpinan PH hilang majoriti dan Ketua Menteri Melaka ketika itu hilang jawatan. Itu yang sebenarnya kategori Ketua Menteri pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

Tiada yang pelik dengan pertukaran jawatan Ketua Menteri ketika kerajaan negeri mempunyai mandat majoriti 2/3 rakyat dan tatakelola penukaran pemimpin berlaku di dalam suasana harmoni tanpa menyinggung mana-mana pihak yang terlibat.

Kenapa YB Jailani tiba-tiba emosi sekiranya transisi jawatan ini berlaku dengan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO-BN? Adakah kerana takut hilang jawatan Exco atau masih ada naluri ‘katak’ atau pembangkang yang cuba mengeruhkan suasana?

YB Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali ada alasan peribadinya sendiri yang tidak perlu digembar-gemburkan secara terperinci kenapa beliau mengundur diri dengan secara hormat. Malah menurut Presiden UMNO, melalui surat perletakan jawatannya, Sulaiman menyatakan beliau mempunyai masalah kesihatan.

YB Jailani terperangkap dengan mainan politik kotor pembangkang atau mencuba untuk menjadi pemain politik kotor?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *