May 18, 2024

SEMALAM dengan rasminya UMNO Malaysia telah menutup pendaftaran pencalonan bagi yang berminat menawarkan diri untuk bertanding di pelbagai jawatan di pelbagai peringkat.

Seperti penggal pemilihan yang sebelumnya, masih ramai ahli yang menawarkan diri untuk bertanding termasuk di peringkat ahli Majlis Kerja Tertinggi pusat, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Ketua Puteri UMNO Malaysia, Ketua Bahagian dan ketua-ketua sayap bahagian. Termasuk juga exco di setiap sayap yang dipertandingkan.

Kali ini UMNO berhadapan dengan “ancaman” dari dalam. Geng broker masih wujud dan sentiasa mencari jalan bagaimana untuk merosakkan UMNO dari dalam dan membawa sebahagian pemimpin UMNO menyembah kaki pihak lawan.

Masa depan UMNO terutama untuk menghadapi ujian pertama iaitu pilihanraya di beberapa negeri bergantung kepada pemilihan pada kali ini. Sekiranya ahli UMNO memilih hanya berpandukan sentimen persepsi maka nasib UMNO akan berada di ambang kecelakaan.

Pertembungan kali ini amat jelas, antara kumpulan yang setia kepada parti dengan walaq kepada presiden UMNO dengan geng broker yang turut mendapat penajaan luarbiasa daripada musuh politik UMNO.

Kalau di PRU15, geng broker ini telah berjaya memujuk sejumlah pemimpin UMNO di pelbagai peringkat untuk mensabotaj UMNO dari dalam, kini geng broker sedang giat berusaha agar kumpulan mereka menguasai jawatan tertentu di pemilihan nanti.

Ahli UMNO wajar menolak calon tajaan geng broker sekiranya ingin lihat UMNO-BN bangkit kembali bagi menghadapi PRU16.

Tidak sukar untuk mengetahui siapakah individu yang ditaja oleh geng broker, mereka antara yang secara konsisten menolak kepimpinan Presiden UMNO, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan alasan yang sama diberikan oleh musuh UMNO yang tidak senang melihat Presiden UMNO dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *