May 18, 2024

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi mendakwa penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) demi menjaga “air muka” bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, MPN sewajarnya dibubarkan kerana pelantikan presiden Bersatu itu sebagai pengerusi sekadar “syarat susulan kehilangan kuasa selepas sekadar 17 bulan menjadi perdana menteri”.

“Sememangnya tiada keperluan bagi penubuhan MPN, apatah lagi untuk meneruskannya. Ia merupakan inisiatif Muhyiddin ketika beliau masih menjadi perdana menteri, yang semata-mata untuk menutup kelemahan kerajaan dalam menguruskan ancaman pandemik Covid-19.

“MPN cuba dijadikan bukti bahawa kerajaan amat serius bertindak untuk memulihkan ekonomi, jadi penubuhannya bermotif politik. Ia sama taraf dengan Majlis Penasihat Kerajaan yang turut gagal,” katanya .


Susulan pengumuman Muhyiddin yang melabelkan Barisan Nasional sebagai musuh utama Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum ke-15, Puad berkata, MPN tidak dapat berfungsi dengan baik dalam senario politik “bermasam muka”.

“Daripada membazir dan membuang masa, baik MPN dibubarkan dan Muhyiddin tutup kedai. Sudah pasti kerajaan ada cara lain untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Semalam, Muhyiddin membidas kelewatan pentadbiran Ismail Sabri Yaakob bertindak atas beberapa cadangan MPN bagi memacu pemulihan negara, selepas pihaknya menghantar memorandum berkaitan lebih empat bulan lalu.

Secara keseluruhan, katanya, MPN mengemukakan 95 saranan untuk dipertimbangkan Ismail, dengan 69 daripadanya membabitkan isu sosioekonomi dan 26 berkaitan tadbir urus.

Daripada 86 saranan yang diluluskan itu, hanya 16 saranan dilaksanakan sepenuhnya, 30 dalam proses pelaksanaan, manakala 14 belum dilaksanakan.

Muhyiddin yang juga pengerusi PN menegaskan, MPN sekadar badan penasihat kepada kerajaan tanpa kuasa pelaksanaan, walaupun ia dianggotai menteri yang bertanggungjawab ke atas kewangan, perdagangan, pertahanan, kerja raya, pendidikan, kesihatan dan ekonomi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *