May 18, 2024

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa kerajaan menjelaskan khabar angin bahawa bekas perdana menteri Najib Razak, yang kini menjalani hukuman penjara, mendapat layanan istimewa.

Shamsul berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin perlu memberi penjelasan berhubung perkara itu.

“Apakah Najib, seorang banduan yang sepatutnya menjalani hukuman di Penjara Kajang, masih tetap dilayan seperti seorang VIP serta segala kehendak dan kemahuannya dituruti?

“Wang yang diperuntukkan untuk keselesaan Najib adalah wang rakyat. Rakyat mahu lihat seorang banduan menjalani hukuman yang setimpal atas kesalahan yang telah dilakukan, bukannya menggunakan lagi wang rakyat hanya untuk memanjakan lagi Najib yang sepatutnya di penjara,” kata ahli parlimen PKR itu dalam kenyataan hari ini.

Shamsul turut menggesa Jabatan Peguam Negara menjalankan siasatan dan mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Penjara berkenaan dakwaan tersebut.

“Setiap pesalah harus menjalani hukuman seperti yang telah ditetapkan.

“Jangan nanti sampai rakyat membilang berapa hari sebenarnya Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang dan berapa hari pula bersenang-lenang dengan katil empuk di bilik hospital yang diubah suai bagi memuaskan kehendak nafsu mewahnya,” kata Shamsul.

Pagi ini, Jabatan Penjara dalam kenyataan mengesahkan khabar angin bahawa Najib sedang mendapatkan rawatan dan pemantauan lanjutan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Kuala Lumpur.

Jabatan itu berkata ia dilakukan selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara.

Khairy pula berkata Najib dipindahkan ke HRC kerana memerlukan fisioterapi namun menegaskan dia tidak diberikan layanan istimewa.

Jangan politikkan rawatan Najib

Dalam kenyataan berlainan, bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menggesa tiada pihak yang mempolitikkan rawatan perubatan yang diterima Najib.

“Haknya selaku pesakit untuk dirawat secara bertimbang rasa, hormat dan bermaruah perlu dihormati.

“Kakitangan kesihatan perlu terus bertugas tanpa takut dan pilih kasih, memastikan dia didiagnos secara tepat dan segera…

“Ia tidak boleh ‘dipolitikkan’ oleh semua pihak berkepentingan yang disebut sebelum ini, yang kesemuanya malangnya ada konflik kepentingan dalam isu kesihatannya,” kata Dzulkefly dalam kenyataan.

Dia juga maklum bahawa pasukan kesihatan akan berdepan tekanan hebat dari semua pihak, antaranya orang atasan mereka, keluarga Najib dan juga rakyat.

“Apa-apa pun, pasukan kesihatan – berdepan dengan spektrum ‘isu kesihatan’ – perlu bertindak secara profesional dan beretika, seperti dalam sumpah hippocrates mereka,” katanya lagi.

Dua minggu lalu, Najib dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) ekoran mengalami ulser, yang didakwa keluarganya ekoran tekanan yang dihadapi.

Dia kemudian dimasukkan semula ke HKL minggu lalu atas masalah tekanan darah.

Susulan itu, timbul dakwaan tular Najib – dengan nama kod Merpati – akan dihantar ke HRC supaya dia boleh mendapat lebih banyak keistimewaan lain, antara lain akses kepada pelawat.

Terdapat juga dakwaan bahawa sel Najib di penjara Kajang telah diubah suai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *