May 18, 2024

APABILA presiden diberi kuasa, ianya tidak boleh disalahgunakan. Masalah timbul apabila mereka yang berada ditampuk kuasa lebih menjaga kepentingan sendiri. Setiap ketua, pengerusi, presiden atau pun seorang perdana menteri mempunyai kuasa mutlak yang sesuai dengan perlembagaan pertubuhan atau perundangan sesebuah negara. Itu tidak bermakna mereka boleh lakukan semua perkara sesuka hati.

Kes pemecatan Tajuddin Rahman dari Majlis Tertinggi UMNO mengundang kebimbangan. Rakyat baru sahaja mula menerima UMNO kembali tetapi akhir-akhir ini keyakinan rakyat dilihat mula luntur akibat tindakan semberono presiden UMNO sendiri.

Sebelum Tajuddin, ada beberapa pemimpin UMNO digantung keahlian sehingga enam tahun kerana kesalahan menyerang Zahid Hamidi.

Datuk Tun Faisal, Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya mendakwa beliau bukan menyerang tetapi menegur Zahid Hamidi yang akhirnya digantung enam tahun sebagai hukuman.

Lokman Adam, ahli Majlis Tertinggi UMNO juga menerima nasib yang sama apabila dipecat dari menjadi ahli UMNO di atas dakwaan menyerang Presiden UMNO juga.

Persoalannya, adakah hukuman hanya dikenakan kepada mereka yang menyerang presiden UMNO sahaja?

Bagaimana dengan serangan jahat yang dilakukan terhadap Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden UMNO?

Bagaimana pula dengan kritikan dan serangan melulu yang bersifat fitnah terhadap Naib Presiden yang juga menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia? Adakah seorang Timbalan Pengerusi Negeri Johor, Nur Jazlan kebal dari tindakan tatatertib samada digantung keahlian atau dipecat dari UMNO?

Serangan beliau terhadap Ismail Sabri bukan sahaja boleh menimbulkan persepsi buruk kepada jawatan Perdana Menteri dari UMNO malah ianya juga memberi kesan negatif kepada UMNO yang dilihat baharu saja kembali mendapat tempat di hati rakyat.

Serangan Nur Jazlan juga boleh menjejaskan nama baik ‘poster boy’ BN untuk pilihanraya umum ke 15 yang dipilih sebulat oleh Top 5 dengan sokongan penuh dari ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta pengerusi badan perhubungan UMNO negeri seluruh negara.

Bagaimana dengan sokongan daripada perwakilan yang hadir di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini berhubung dengan nama Ismail Sabri yang satu-satunya akan dipersembahkan kepada istana sebagai calon Perdana Menteri dari UMNO BN sekiranya menang pilihanraya umum ke 15?

Adakah mandat yang diberikan oleh perwakilan itu boleh sewenang-wenangnya dihina oleh Timbalan Pengerusi UMNO Johor?

Adakah pada pandangan Zahid, calon Perdana Menteri dari UMNO BN yang dipersetujui pada semua peringkat boleh diserang dan dihina sedemikian rupa oleh Nur Jazlan?

Kemana Zahid hendak bawa UMNO BN ini sebenarnya? Setelah menang di 7 siri pilihanraya kecil dan kemenangan besar di dua pilihanraya negeri, adakah Zahid mula yakin UMNO BN bakal menang besar di pilihanraya umum ke 15 dengan bertindak hanya untuk kepentingan dirinya sahaja?

Gunalah kuasa mutlak tersebut untuk melindungi institusi presiden yang di dalamnya ada bersama jawatan-jawatan utama yang lain malah termasuk parti UMNO itu sendiri.

UMNO bukan hanya ada presiden sahaja di dalamnya tetapi merangkumi keseluruhan keanggotaan parti termasuk ahli biasa. Parti keramat ini perlu dijaga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *