May 18, 2024

Bekas pegawai kanan polis, pesara Deputi Superintendan (DSP) Kenny James Woodworth, 89, yang terbabit dalam memburu penjenayah kejam, Botak Chin, meninggal dunia akibat sakit tua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, pagi tadi.

Kenny James adalah di antara 12 pegawai Cawangan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur yang dipilih khas menganggotai kumpulan dinamakan ‘Magnificient 12’.

Kumpulan itu ditubuhkan bagi memburu penjenayah terkenal suatu ketika dulu, Wong Swee Chin atau lebih dikenali sebagai Botak Chin.

“Jasad mendiang akan dibawa ke Gereja Holy Rosary, Kuala Lumpur pada hari ini dan esok bermula 9 pagi sehingga 9.30 malam untuk penghormatan terakhir.

“Sesungguhnya jasa dan bakti yang dicurahkan beliau akan sentiasa dikenang sepanjang zaman dan pemergiannya adalah satu kehilangan besar buat pasukan serta negara,” kata kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook PDRM.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan mendiang Kenny seorang yang berani dan pakar dalam risikan.

“Ketika bertugas dibawah arahan mendiang, beliau sering berpesan jangan bagi muka kepada penjenayah.

“Sebab itu ketika zaman mendiang, ramai gengster atau penjenayah amat takut dengan mendiang kerana mendiang amat tegas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Musa berkata, mendiang sudah melakukan yang terbaik untuk negara dan pemergian mendiang adalah suatu kehilangan.

“Dia sangat berdedikasi di dalam tugas dan sering mengingatkan anak buah supaya tidak berkompromi dengan penjenayah,” katanya.

Mendiang yang menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Mei 1953 dan bersara pada April 1988 meninggal dunia pada usia 89 tahun.

Selain kes Botak Chin, mendiang yang terkenal dengan gelaran 12 Magnificent (kumpulan khas 12 pegawai polis) turut terbabit dalam memerangi pelbagai jenayah besar termasuk Kepong Chai.

Sejak kematian isterinya, Joan Sylvia Maureen, lima tahun lalu, mendiang yang mempunyai masalah buah pinggang, mengambil keputusan untuk tinggal di pusat penjagaan persendirian di pinggir ibu kota.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *