May 18, 2024

KUALA LUMPUR: Dua belas individu ditahan kerana disyaki terbabit penipuan pelaburan Goldman Sachs di tujuh negeri dengan kerugian dianggarkan melebihi RM11 juta pada Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek berusia 21 hingga 45 tahun itu ditahan menerusi Op Nuri 7/24 di Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Sarawak, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

“Semua suspek yang berperanan pengarah syarikat dan pemilik perniagaan digunakan sebagai akaun keldai dalam kegiatan penipuan pelaburan.

“Hasil siasatan mendapati sindiket penipuan ini beroperasi dalam talian sejak Februari lepas menggunakan nama syarikat pelaburan terkemuka di dunia, iaitu Goldman Sachs bagi memperdayakan mangsa,” katanya dalam sidang media khas di Menara KPJ, di sini.

Beliau berkata, kumpulan itu menggunakan laman media sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp sebagai medium pemasaran serta komunikasi dengan mangsa.

“Skim pelaburan ini menawarkan pulangan tinggi 15 hingga 200% sebulan. Keuntungan dijamin melalui bimbingan dan bantuan pakar analisis pasaran modal atau cikgu trader.”

Untuk melabur, katanya, mangsa diminta memuat turun aplikasi Bam Pro dan Baly Pro di App Store serta Google Store, sebelum diarah membuat pindahan wang pelaburan ke akaun syarikat keldai ditetapkan sindiket.

“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan wang keuntungan yang diperoleh.”

Ramli berkata, lapan telefon bimbit pelbagai jenama, satu pouch bag, dua salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, satu salinan borang pendaftaran perniagaan dan lima Form A pendaftaran perniagaan turut dirampas.

Setakat ini, 29 kertas siasatan dibuka dan 19 akaun bank dikenal pasti membabitkan tiga syarikat serta 16 perniagaan disalahgunakan sebagai akaun keldai untuk menerima wang daripada mangsa.

Katanya, semua suspek direman tiga hari sehingga semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *