May 18, 2024

Sarah (dua dari kanan) terus membuat pendedahan demi pendedahan tentang hubungan Aliff dengan wanita bernama NRF dipercayai Ruhainies.

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima aduan mengenai tindakan berterusan individu tertentu ‘membuka aib’ membabitkan hal peribadi selebriti kontroversi, Aliff Aziz di media sosial. 

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pihak berkenaan perlu meneliti aduan terbabit sebelum mengambil sebarang tindakan sewajarnya mengikut undang-undang sedia ada. 

Tanpa menyebut bilangan aduan diterima, Fahmi berkata, sejumlah aduan rasmi itu diterima daripada orang awam membabitkan isu yang kian hangat di media sosial ketika ini. 

“Aduan baru dibuat dalam sehari dua ini oleh sejumlah orang awam (dan aduan) bukan daripada saya (atau) SKMM. SKMM akan ambil tindakan jika ada laporan (rasmi), bukan dengan cara ‘tag’ Fahmi Fadzil dalam media sosial, itu bukan laporan.

“Jadi kepada sesiapa mahu melaporkan sebarang aduan, ia perlu dibuat secara rasmi, kemudian kita akan teliti secara mendalam dan ambil tindakan berlandaskan undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Media Prima Berhad (MPB), di sini, hari ini.

Fahmi mengulas dakwaan yang menyifatkan pihaknya lambat mengambil tindakan mengenai pendedahan yang disifatkan serangan peribadi hingga boleh mencalarkan industri seni. 

Baru-baru ini, industri hiburan negara digemparkan dengan pendedahan skandal artis kontroversi, Aliff Aziz oleh seorang wanita mendakwa sebagai kekasih pelakon dan penyanyi itu yang dikenali sebagai Sarah Yasmine. 

Beberapa pihak termasuk rakan artis dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menggesa wanita itu berhenti daripada mengeluarkan kenyataan atau mengambil tindakan yang dianggap boleh mengeruhkan keadaan hingga menjejaskan imej dan kredibiliti industri kreatif negara. 

Pengarah dan penerbit, Erma Fatima turut menggesa wanita berkenaan menghentikan tindakannya membuka aib beberapa selebriti tempatan, sebaliknya menyelesaikan kemelut yang disifatkan memalukan industri seni itu bersama Aliff. 

Selain meminta individu terkait dalam pendedahan dibuat wanita dipercayai berasal Singapura itu membuat laporan polis bagi menjaga reputasi mereka daripada terus tercalar.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, setakat ini, beliau belum menerima perincian lanjut berkaitan aduan berkenaan termasuk jumlah laporan yang diterima dan individu yang dituduh melakukan kesalahan. 

Katanya, selain itu kerjasama daripada pihak pengendali media sosial juga diperlukan untuk menurunkan sebarang hantaran atau perkongsian yang mengaibkan dan ia bukan di bawah bidang kuasa SKMM semata-mata.

“Penting untuk saya sebut di sini ia (menurunkan kandungan) adalah tertakluk dan bergantung kepada platform (media sosial). Kita boleh minta kerjasama tetapi kita tak boleh paksa pihak itu menurunkannya.

“Platform hanya menurunkan kandungan jika ia bersetuju kandungan itu melanggar undang-undang (selepas siasatan selesai dijalankan). Jadi bila orang kata saya kuku besi, itu tidak betul kerana akhirnya bergantung kepada platform sama ada setuju (berbuat demikian),” katanya. 

Ketika ditanya sama ada kerajaan sedia mengkaji untuk memberikan kuasa sepenuhnya kepada SKMM untuk memadam atau menurunkan kandungan berunsur fitnah, hasutan dan kebencian di media sosial, Fahmi berkata, perkara itu akan dipertimbangkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *