May 18, 2024

PETALING JAYA: Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad tidak memberi ‘gula-gula’ ketika kempen kerajaan perpaduan di PRK Kuala Kubu Baharu, kata sumber yang rapat dengan perkara itu.

Dzulkefly dikritik di media sosial dan baru-baru ini Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana mengagihkan duit raya kepada pengundi di Kuala Kubu Baharu.

Bagaimanapun, sumber berkata menteri itu hanya secara rasmi memberi duit raya di hospital sebelum hari penamaan calon pada 27 April lalu.

“Dzulkefly memberi sampul duit raya kepada staf Hospital Ampang pada 10 April dan staf Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 11 April, dan kepada beberapa individu lain ketika lawatan beliau.

“Beliau juga melawat Pusat Darah Negara pada 24 April dan Hospital Kuala Kubu Baharu serta HKL sekali lagi pada 26 April,” katanya.

Kata sumber itu lagi, staf di Kementerian Kesihatan sering bertukar-tukar, dan tidak semua staf hospital atau klinik adalah pengundi Kuala Kubu Baharu.

“Dzulkefly juga tidak mengumumkan projek baru atau naik taraf mana-mana kemudahan kesihatan. Beliau ada menyentuh mengenai satu blok baru yang akan dibina tetapi ia sudah ada dalam Bajet 2024 yang diluluskan Parlimen pada Disember 2023.

“Jadi, tiada rasuah pilihan raya. Ini adalah tuduhan berniat jahat kerana pembangkang tiada isu untuk dimainkan (dalam PRK),” katanya.

Dzulkefly dituduh di media sosial mengedarkan wang kepada pengundi di Kuala Kubu Baharu, dengan gambar sampul duit raya tertera gambarnya turut tular.

Terdahulu hari ini, Wan Fayhsal menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat Dzulkefly kerana didakwa mengedar sampul kepada pengundi di Kuala Kubu Baharu.

“Kami terkejut dengan gambar Dzulkefly mengedar sampul. Saya tidak pasti apa dalam sampul tersebut, tetapi diedarkan di Kuala Kubu Baharu.

“Saya minta SPR siasat apa ‘gula-gula’ ditawarkan oleh menteri-menteri Madani ini setiap kali mereka turun berkempen di Kuala Kubu Baharu,” katanya dalam sidang media.

Hari mengundi bagi PRK Kuala Kubu Baharu ditetapkan pada 11 Mei ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *