May 5, 2024

DAP menyifatkan Pang Sock Tao sebagai calon muda berkaliber yang boleh mewakili kerajaan perpaduan. (Gambar Facebook)

HULU SELANGOR: DAP mempertaruhkan orang muda dalam misi untuk mempertahankan DUN Kuala Kubu Baharu pada pilihan raya 11 Mei ini.

Pang Sock Tao, 31, yang berkhidmat sebagai setiausaha akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, diumumkan sebagai calon kerajaan perpaduan malam tadi.

“Kita nak tonjolkan anak muda… calon berkalibar yang boleh mewakili kerajaan perpaduan,” kata Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook pada majlis pengumuman calon di Pusat Khidmat Adun Kuala Kubu Baharu.

Loke menjelaskan Pang terpilih daripada senarai 10 calon dengan memenuhi beberapa syarat iaitu wanita, mempunyai kelayakan akademik dan pengalaman dalam politik dan parti.

Pada PRN Ogos lalu, calon DAP Lee Kee Hiong menewaskan pencabarnya di DUN Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 4,119 sekali gus mempertahankan kerusi Pakatan Harapan itu buat penggal ketiga.

Lee meninggal dunia dunia akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Pang dalam ucapan sulungnya berikrar akan meneruskan perkhidmatan terbaik Lee, yang disifatkan sebagai mentor kepadanya dan rakan-rakan.

“Dengan pengalaman saya di dua kementerian iaitu bekas pegawai menteri Tenaga Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, kemudian pegawai kepada menteri KPKT saya harap dapat membawa pembangunan positif kepada Kuala Kubu Baharu,” katanya.

Perikatan Nasional akan mengumumkan calonnya esok.

Menurut sumber PN, Gerakan mahu mengetengahkan Muniraa Abu Bakar, yang sebelum ini bertanding di DUN Bukit Lanjan pada PRN lepas; manakala Bersatu mencadangkan pemangku ketua Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut.

Penamaan calon akan diadakan pada Sabtu ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *