May 19, 2024

Datuk Seri Najib Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

“Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-61 telah bersidang pada 29 Januari 2024.

“Lima kertas pengampunan, termasuk permohonan Datuk Seri Najib Razak telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan itu yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Yang di-Pertuan Agong ketika itu),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan berkenaan lagi, selepas mempertimbangkan pendapat serta nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu memutuskan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, selain pengurangan denda yang perlu dibayar.

“Oleh yang demikian, Datuk Seri Najib Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal, iaitu 23 Ogos 2028, dan denda yang perlu dibayar sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

“Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara beliau akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan ialah pada 23 Ogos 2029,” katanya.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Lembaga Pengampunan sudah membuat keputusan berhubung permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan selepas disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 12 tahun pada 2022.

Perdana Menteri, bagaimanapun menjelaskan kerajaan tidak akan membuat sebarang pengumuman mengenai keputusan itu, sebaliknya ia bakal dilakukan sendiri oleh Lembaga Pengampunan.

Berita mengenai isu pengampunan Najib berlegar dalam media sosial dan dilaporkan media massa sejak beberapa hari lalu, dengan desas-desus kuat mendakwa nasib bekas Perdana Menteri yang sedang menjalani hukuman penjara itu sudahpun diputuskan oleh Lembaga Pengampunan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *