May 18, 2024

UMNO-BN wajib bangkit dengan kadar segera. Perlu kembali kepada kepentingan parti melebihi kepentingan individu.

Parti politik terutama musuh UMNO-BN sedang giat memperkukuhkan kedudukan dan imej parti dan bukannya berlumba mempopularkan diri sendiri dengan meletakkan parti menjadi nombor dua.

UMNO-BN di awal penubuhannya terlalu kuat kerana imej yang terbina. Letaklah siapa sahaja, calon UMNO-BN akan menang mudah kerana jenama parti begitu kuat mendapat kepercayaan daripada rakyat. Musuh UMNO-BN menjadikannya sebagai contoh dan hari ini terbukti perancangan mereka berjaya walaupun tidak sepenuhnya.

Buktinya, lihat sendiri siapa wakil rakyat dari parti musuh UMNO-BN, majoritinya tiada pengalaman politik samada peringkat negeri atau pun peringkat parlimen namun mereka menang dengan selesa. Walaupun wujudnya faktor sampingan seperti menang kerana rasuah pengundi namun perkara pokok adalah keberhasilan mereka mengukuhkan nama parti di hati rakyat.

Jika UMNO-BN masih ada sikap dengki, cas keting dan tidak wala’ kepada pemimpin utama, UMNO-BN bakal dihukum di pilihanraya kecil Parlimen Kemaman.

Pandangan negatif ahli sendiri terhadap UMNO-BN wajar dihakis segera. UMNO-BN bukan sebuah parti kampungan yang hebat bertanding sesama sendiri tetapi UMNO-BN adalah tulang belakang pentadbiran negara. Jika tidak kembali kepada landasan asal, UMNO-BN tidak akan kemana dan akan dilupakan.

Siapa sahaja yang dinamakan oleh Presiden parti sebagai calon kelak maka keseluruhan ahli UMNO-BN perlu akur dan bekerja keras untuk memastikan Parlimen Kemaman kembali kepada UMNO-BN.

Kalah sekali bukan bererti mati, kalah kali kedua bukan bermakna sudah dikuburkan dan bukan berapa kali jatuh yang perlu dilihat tetapi bagaimana UMNO-BN bangkit dari kejatuhan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *