May 18, 2024

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mewajibkan penggunaan e-Perkhidmatan percukaian secara berperingkat mulai 1 September ini.

LHDN dalam kenyataan hari ini berkata, keadaan itu sejajar dengan transformasi teknologi dan pendigitalan sistem perkhidmatan percukaian bertujuan untuk memperkasa dan melestari pendigitalan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. 

Katanya, LHDN akan mewajibkan penggunaan e-Perkhidmatan yang sudah disediakan secara dalam talian melalui gerbang perkhidmatan Portal MyTax . 

“Pelaksanaan penggunaan e-Perkhidmatan secara mandatori ini adalah bagi menyokong hasrat kerajaan ke arah meningkatkan bilangan perkhidmatan menerusi dalam talian sepenuhnya dari proses mula hingga akhir, End-to-End (E2E) secara berperingkat dan sepenuhnya dijangka pada 1 Januari 2024.


“Ia juga adalah satu daripada usaha kami dalam menerapkan elemen Awareness, Education and Services (A.E.S) di semua Kaunter Perkhidmatan LHDN. 

“Pembayar cukai digalakkan untuk beralih kepada Perkhidmatan E2E ini dalam semua transaksi termasuk menggunakan kaedah pembayaran secara dalam talian yang sudah disediakan untuk membuat bayaran bagi memastikan segala transaksi yang direkodkan adalah selamat dan teratur,” katanya menurut kenyataan itu.

Katanya lagi, senarai e-Perkhidmatan yang diwajibkan beserta penerangannya boleh didapati melalui pautan https://www.hasil.gov.my/e-perkhidmatan/ manakala panduan penggunaan ePerkhidmatan boleh diakses melalui Portal MyTax di pautan https://mytax.hasil.gov.my/ > Panduan Pengguna.

“Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (Luar Negara); HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *