May 18, 2024

OLEH ROHANA MAN dan RAJMAH HASAN 

KUANG – Menyantuni dan mendekati penduduk tempatan bukan hanya dilakukan pada musim pilihan raya, tetapi dianjurkan setiap masa mengikut keperluan penduduk.

Program Ziarah Kasih yang diadakan sejak zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) menerajui Selangor tidak pernah ditamatkan walaupun  negeri itu jatuh ke tangan parti pembangkang pada 2008.

Apa yang mengujakan adalah wakil rakyat daripada BN tetap mengadakan program lawatan ke rumah bagi menyantuni penduduk yang ditimpa kecelakaan atau sakit, tanpa mengira parti pilihan mereka.

Ini yang ditekankan calon DUN N.13 Kuang, Datuk Hasnal Rezua Merican pada program Ziarah Kasih ke beberapa rumah penduduk di Kuang petang tadi.

“Kita bukan melakukan perkara ini ketika musim pilihan raya sahaja. Gerak  kerja kita memberi bantuan kepada penduduk telah lama dilakukan semasa kita (BN) menjadi kerajaan.

“Apabila kita tidak lagi menjadi kerajaan, kita tetap meneruskan program Ziarah Kasih demi menyantuni penduduk. Kita jadikannya sebagai satu tradisi,” katanya kepada Malaysia Hot pada program Ziarah Kasih yang diadakan di beberapa rumah sekitar Kuang.

Antara rumah yang menerima kunjungan  Hasnal Rezua ialah rumah pesakit strok warga emas, Atirah Sudarman, 81, di Kampung Cempedak.

Saniah Mohd. Sayadi, 56,  anak kepada Atirah berkata, kunjungan Hasnal Rezua itu membuktikan kepedulian dan keprihatinan beliau terhadap kebajikan penduduk.

“Saya kenal Hasnal sejak zaman ADUN Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus. Ketika itu, beliau selalu ikut turun padang berjumpa rakyat, mengiringi Datuk Abdul Shukur,” katanya sambil memberitahu ibunya terlantar sejak dua tahun lalu akibat strok.

Sementara itu, Mazni Abdul Aziz, 47, berkata, Hasnal Rezua sentiasa memperlihatkan bahawa beliau adalah calon wakil rakyat yang bertindak responsif terhadap kebajikan rakyat.

“Saya lihat Hasnal bijak menyantuni penduduk kampung yang sakit dan uzur,” kata isteri kepada Mohamad Fairus Salleh itu.

Mohamad Fairus, 51, antara yang dilawati Hasnal Rezua kerana mengalami kecederaan apabila terlibat dalam kemalangan membabitkan motosikal di Lorong Ciku, baru-baru ini.

Rumah terakhir yang menerima lawatan Hasnal Rezua ialah rumah Azmal Ayub, 53.

Beliau cedera akibat terjatuh daripada basikal pada 15 Julai lalu.

Beliau tidak menyangka menerima kunjungan Hasnal Rezua.

Bapa kepada enam  cahaya mata itu berkata, buat masa sekarang beliau terpaksa berehat lama bagi memulihkan luka pada muka dan mata.

“Saya tak boleh berehat lama dan perlu keluar bekerja.

“Sebagai pemandu van sekolah, saya banyak terima panggilan daripada ibu bapa, bertanyakan bila saya boleh mula bekerja semula,” katanya yang menetap di Kampung Damai.

#PRN15 #PRNSelangor #Kuang #N13 #TetapSayang #HRM #Perpaduanready #kitaselangor #DemiKestabilan #DemiKemakmuran #Hasnal #HasnalKuang #CalonNo1 #HasnalSatu #HRM1 #SuaraKuang #KuangKuSayang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *