May 18, 2024

Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Pulau Pinang masih hak Kedah.

Beliau berkata, sebagai seorang Menteri Besar, Muhammad Sanusi seharusnya terikat dengan aspek perundangan dan faham mengenai Perlembagaan.

“Kadang-kadang apabila seorang pemimpin berucap dia kena faham Perlembagaan, dia kena faham perjanjian.

“Walaupun ada perjanjian 300 tahun dulu, 1,000 tahun dulu, ada perjanjian terakhir penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan itu jelas.

“Nak ucap dari segi sandiwara politik itu soal lain, tetapi sebagai seorang Menteri Besar, saya fikir wajar terikat dengan perundangan.

“Saya boleh komen ini berdasarkan ulasan Peguam Negara yang cukup jelas bahawa perkara ini perlu menghormati perjanjian Perlembagaan yang diperkenan semua Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah,” katanya selepas Majlis Seminar Fikrah Siddiq Fadzil -Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

Semalam, Muhammad Sanusi berkata pihaknya tidak perlu mengambil kembali Pulau Pinang kerana negeri itu tidak pernah ‘terlepas’ dari Kedah.

Beliau berkata, Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

“Bukan nak ambil balik, bukan terlepas apa pun, memang hak kita,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *