May 18, 2024

HALUAN politik Khairy Jamaluddin masih belum berubah. Masih berada di dalam kepompong yang sama dan kekal gigih menyerang kepimpinan Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO.

Kali ini melalui siaran tertunda ‘podcast’ milik beliau, KJ dan Shahril Hamdan menjadikan keputusan pemilihan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebagai sasaran. Dengan saluran “Keluar Sekejap”, KJ membuat analisa bahawa calon ahli MKT yang menang sebahagianya besarnya adalah ‘orang Najib’ dan bukannya ‘pengikut Zahid’.

Gigihnya KJ di dalam cubaan melaga-lagakan ahli dan kepimpinan UMNO. Dendam KJ akibat kekalahan diri sendiri di PRU15 masih belum padam sehinggakan beliau masih menjadikan UMNO dan Presidennya sebagai subjek utama.

KJ cuba mengalihkan perhatian ahli dan kepimpinan UMNO betapa yang sebenarnya bahawa hubungan Zahid dan Najib adalah amat akrab. Kedua pemimpin UMNO ini menunjukkan tauladan yang terbaik tentang apa makna kesetiaan di dalam hubungan. Keduanya, Zahid dan Najib selama ini saling menyokong antara satu sama lain sehinggakanlah kepada memberi sokongan semangat ketika di mahkamah.

Kesimpulannya, penyokong Zahid dan Najib adalah dari kelompok yang sama dan lebih bermakna kumpulan ini adalah mereka yang menolak untuk menjual UMNO kepada pihak lain dengan harga yang murah. Mereka tidak sanggup untuk menjadi macai politik kepada Muhyiddin dengan menyertai geng broker murahan.

Keputusan pemilihan MKT datangnya daripada lebih 150,000 perwakilan dari 191 bahagian di seluruh negara. Mandat dari akar umbi yang mampu melihat dan membuat penilaian siapakah pemimpin yang layak berada di barisan MKT. Kali ini akar umbi bijak memilih untuk menolak calon yang ditaja oleh kumpulan broker proksi Muhyiddin dan kesemua yang menang adalah individu yang setia kepada parti.

KJ sudah tua, masih gagal untuk menyelami kehendak ahli parti di peringkat akar umbi. Politik yang dibawa oleh KJ adalah politik ‘membudakkan’ orang lain dan bukannya politik khidmat bakti. Lihat saja bagaimana beliau menjadikan Shahril Hamdan sebagai ‘budak suruhannya’ yang angguk-angguk sahaja apa yang diperkatakan oleh KJ.

Bagaimana seorang yang pernah menjadi Ketua Penerangan UMNO Malaysia dan sebanyak dua kali menjadi calon pilihanraya serta tewas keduanya boleh memberikan hidungnya untuk dicucuk sebagai ‘haiwan tenggala politik’?

Betapa jauhnya beza kematangan antara Shahril Hamdan dan perwakilan yang datangnya dari cawangan di seluruh negara. Mereka lebih mengenali siapa pemimpin yang berjiwa parti berbanding dengan Shahril Hamdan yang hatinya hanya ada KJ.

KJ sepatutnya malu, ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia beliau gagal menarik golongan muda kepada UMNO dan menjadi menteri di pelbagai kementerian juga tidak mampu menaikan rating UMNO malah tewas di PRU15. Peluang apa lagi yang beliau ingin disuap ke mulutnya?

Individu yang naik ke dunia politik dengan menumpang ayah mertua atau siapa sahaja tidak akan kekal lama dan boleh menjadi rosak halatuju politiknya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *