May 18, 2024

Presiden PKR Anwar Ibrahim mengumumkan timbalannya, Rafizi Ramli akan mengetuai “pasukan pilihan raya” dalam persediaan parti itu untuk menghadapi PRU15.

Menurut Anwar perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang diadakan buat kali pertama selepas kongres dan pemilihan parti itu baru-baru ini.

“Kita yakin Insya-Allah dapat mengangkat martabat dan kedudukan PKR dan Pakatan Harapan (PH). Untuk itu, saya telah mencadangkan agar Rafizi selaku timbalan presiden mengetuai pasukan perang pilihan raya ini.

“Dia akan diberikan wewenang untuk bergerak secepat mungkin bagi memperkuat jentera pilihan raya parti,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MPP di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, pada Isnin.ADS

Kemenangan Rafizi sebagai timbalan presiden PKR menewaskan Saifuddin Nasution Ismail sememangnya disambut dengan gembira oleh penyokong-penyokong parti itu.

Ia diharapkan mampu memberikan “umpphhh” kepada PKR selepas siri kekalahan memalukan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.

Selain itu, kemenangan Rafizi juga membangkitkan semangat penyokong-penyokong PH untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

‘Poster boy PH’ADS

Disebabkan populariti Rafizi yang begitu besar dalam kalangan pengguna media sosial dan rakyat secara umumnya, sudah sampai masanya Anwar menggesa PH untuk menjadikan bekas ahli Parlimen Pandan itu sebagai “poster boy” untuk berdepan dengan BN dan PN pada PRU15.

Memandangkan BN hampir pasti manggunakan wajah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan PN akan menjual muka pengerusinya Muhyiddin Yassin, langkah PH menjadikan Rafizi sebagai “poster boy” akan menjadi satu “game changer”.

Ini sudah pasti akan menyebabkan anak-anak muda berminat untuk keluar mengundi memandangkan Rafizi merupakan seorang pendebat dan pemidato yang petah berkata-kata.

Bayangkan dengan sejumlah besar pengundi muda selepas Undi 18 dilaksanakan, bukankah langkah ini akan memberikan manfaat besar kepada PH?

Rafizi yang dilahirkan di Besut dan dibesarkan di Kemaman, Terengganu juga boleh ditugaskan untuk mula menggempur kerusi-kerusi bukan tradisi PH dan luar bandar.

Disebabkan kurangnya sokongan pengundi luar bandar dan hanya mempunyai sokongan pengundi bandar, sukar untuk PH membentuk kerajaan.

Bagi memastikan PH memecahkan kebuntuan dan memenangi kerusi di Terengganu, meletakkan Rafizi sebagai calon Parlimen Kemaman sudah pasti akan menyebabkan Umno dan PAS dalam ketakutan.

Begitu juga orang-orang kanan Rafizi seperti Nik Nazmi Nik Ahmad yang mempunyai susur galur keluarga yang dihormati di Kelantan.

Sekiranya Nik Nazmi juga diletakkan untuk bertanding di kerusi Parlimen di negeri Kelantan, PKR mampu membantu rakan-rakan komponen seperti Amanah untuk memenangi kerusi.

Kehadiran Rafizi sebagai poster boy memudahkan urusan Anwar sebagai pengerusi PH kerana beliau amat pintar menggunakan media sosial untuk mencari dana pilihan raya.

Lihatlah bagaimana jutaan ringgit berjaya dikumpulkan Rafizi ketika mengetuai Invoke.

Terbaru kempen Ayuh Malaysia yang dimulakan Rafizi juga mendapat sokongan meluas daripada rakyat Malaysia.

Maka, sekiranya Rafizi berjaya dalam tugasnya dan membawa PH kembali ke tampuk kekuasaan, sudah tiba masanya Anwar memberikan laluan kepadanya untuk memimpin PKR.

Berundur bukan bermakna Anwar takut, tetapi berundur bagi memastikan kesinambungan perjuangannya diteruskan.

Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *