May 19, 2024

Concorde Club Event - Discussion with Muar MP Syed Saddiq at Menara Star. -AZMAN GHANI/The Star

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengarahkan wang RM1 juta yang dikeluarkan daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) diagihkan dalam kalangan exco sayap parti, sehari selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan menggeledah kediaman Ahli Parlimen Muar itu di Petaling Jaya pada 31 Mac 2020.

Pegawai penyiasat SPRM Mohd Syahmeizy Sulong, 37, berkata, wang yang dikeluarkan dari bank pada 6 Mac 2020 berada dalam kawalan Rafiq Hakim Razali, yang ketika itu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan tiada transaksi dibuat dalam tempoh berkenaan sebelum ia diagihkan pada 1 April 2020.

“Wang itu disimpan di rumah Rafiq Hakim sebelum ia diagihkan kepada kepada Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan Muhammad Daniel Kusari dan Muhammad Naqib Ab Rahim yang ketika itu ahli Bersatu,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Mohamed Tahir pada perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Disoal Muhammad Asyraf apa yang menyebabkan wang RM1 juta itu tiba-tiba diagihkan kepada Muhammad Daniel dan Muhammad Naqib, saksi menjawab: Wang diagihkan selepas pihak SPRM mula siasat dan geledah rumah YB Syed Saddiq pada 31 Mac 2020.

Mohd Syahmeizy, yang menyiasat kes penyelewengan dana Armada dihadapi Syed Saddiq berkata, berdasarkan keterangan saksi yang dirakam, duit itu dikeluarkan oleh dua pemegang amanah Armada, Rafiq Hakim dan Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, yang ketika itu Penolong Setiausaha Armada atas arahan Syed Saddiq.

Menurut Penguasa Kanan SPRM itu, cek pengeluaran wang berkenaan ditandatangani oleh Rafiq Hakim dan Ahmad Redzuan kerana Syed Saddiq tidak mempunyai masa untuk pergi ke bank selain tandatangannya sering berubah.


Saksi pendakwaan ke-25 itu berkata, siasatannya juga mendapati, pada 31 Mac 2020, tertuduh telah menghubungi Rafiq Hakim dan arahkannya untuk ‘clear’ wang yang disimpan di rumah Rafiq Hakim kerana tertuduh risau wang itu akan dijumpai dan disita oleh pihak SPRM.

Kepada soalan Muhammad Asyraf, saksi berkata, pihak SPRM menggeledah rumah Syed Saddiq pada hari berkenaan (31 Mac) susulan siasatan dijalankan oleh seorang lagi pegawai penyiasat, Muhamad Khairi Muhamad Rodi untuk menyiasat kehilangan wang berjumlah RM250,000 di rumah ahli politik tersebut.

Menurut Mohd Syahmeizy, daripada RM1 juta itu, wang berjumlah RM650,000 diagihkan kepada Muhammad Daniel manakala RM250,000 kepada Muhammad Naqib.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *