May 18, 2024

Seorang pembantu kedai makan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan mengambil dan membuang patung hiasan pada pancutan air di sebuah rumah ke dalam tong sampah.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret, Sharifah Maleeha Syed Hussin, terhadap tertuduh, Gabriele Jungkak Anak Steward, 23, selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

Majistret turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, pemuda itu didakwa melakukan khianat dengan mengambil patung hiasan pancutan air milik seorang lelaki berusia 33 tahun yang bersambung dengan paip kecil sehingga tercabut dan rosak sebelum membuangnya ke dalam tong sampah, menyebabkan kerugian bernilai RM25.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Scientex, Senai dekat sini, kira-kira jam 9 pagi, 15 Mei lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.https://e3a8eb12d08a9b2d1a82c793ed8ed537.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

Sebelum hukuman dijatuhkan, Gabriele Jungkak dalam rayuannya, berkata dia bertindak membuang patung hiasan itu kerana mengganggunya, selain mendakwa pernah membuang serta membakar patung lain di kawasan lain.

Sharifah Maleeha bagaimanapun menasihatkan tertuduh supaya tidak mensia-siakan hidupnya, selain belajar untuk hidup berjiran.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Edelynn Wong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai bertindak membuang patung kepercayaan masyarakat Hindu dalam satu kejadian di Taman Scientex, Senai, selepas video memaparkan perbuatan lelaki itu tular di media sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *