November 18, 2024

HULU SELANGOR: Parti Rakyat Malaysia (PRM) realistik dalam meletakkan sasaran untuk tidak kehilangan deposit pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu berikutan sedar berdepan dua pakatan gergasi sebagai saingan.

Presidennya, Ahmad Jufliz Faiza turut mengakui pencapaian itu cukup baik jika partinya mendapat pertambahan undi daripada 527 undi diperoleh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Ogos lalu. 

“Kami perlu menunjukkan kami parti yang konsisten berjuang sejak sebelum merdeka tetapi kami tidak akan mengangkat bendera putih meskipun berdepan parti besar yang hanya memainkan isu negara tanpa mempedulikan masalah kecil membelenggu rakyat.

“Kami tidak serik (bertanding), sudah tentu bertanding untuk menang, tetapi sudah cukup bersejarah jika kami tidak hilang deposit.

“Mengikut perkiraan, sekiranya daripada 70 peratus atau kira-kira 28,000 orang keluar mengundi, jika dapat sokong satu perlapan (3,500) undi, kita tidak akan hilang deposit,” katanya ketika hadir bersama calon PRM, Hafizah Zainudin pada pelancaran bilik gerakan dan manifesto PRM PRK DUN Kuala Kubu Bharu, di Jalan Ampang Pechah, Rasa di sini, semalam.

Pada PRN Selangor, PRM hanya memperoleh 527 undi melalui calonnya, Chang Boon Lai dengan kerusi terbabit dimenangi Lee Kien Hong daripada Pakatan Harapan (PH) dengan memperoleh majoriti 4,119 undi yang berdepan Teoh Kien Hong (Gerakan-Perikatan Nasional) dan Siva Prakash Ramasamy (MUDA).

PRM ditubuhkan pada 1955, antara parti terawal ditubuhkan di negara ini yang diasaskan Ahmad Boestamam.

Ahmad Jufliz berkata, walaupun partinya gagal memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya sejak kebelakangan ini, namun keputusan itu dibuat kerana asas perjuangan parti membela nasib rakyat.

“Kita mampu memperjuangkan isu ekonomi dan rakyat yang dihadapi setiap hari yang mana jika Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) menang, isu rakyat ini tidak diperjuang.

“Justeru kami mahu membetulkan isu ekonomi, ketirisan yang dilakukan kerajaan sebelum ini, jadi kita mahu memperbetulkan masalah itu,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Jufliz berkata, PRM menetapkan enam manifesto merangkumi aspek meningkat dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan tanpa riba bagi warga Kuala Kubu Bharu terutama berkaitan industri kecil dan sederhana. 

Selain itu, katanya, dalam manifesto PRM juga mahu mewujudkan koperasi komuniti di setiap taman dan kampung; menubuhkan hab teknologi tumbuhan herba, menggalakkan penduduk terbabit ekopelancongan serta mewujudkan pusat khidmat penduduk bagi mereka yang mengalami kesan COVID-19. 

“Ia juga meliputi akujanji untuk meningkatkan memudahkan infrastruktur dan meningkatkan peruntukan kebajikan kepada keluarga penjawat awam, wanita, warga emas, orang kurang upaya dan kanak-kanak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *