November 16, 2024

KHABARNYA lima media arus perdana dijadikan sumber utama dapatan kononnya kajian kepuasan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan. Hakikatnya mereka adalah media yang berfokus kepada kepentingan politik pihak yang tidak pro kepada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Siapa tidak kenal dengan kelima media arus perdana tersebut?

Selain mereka adalah antara saluran anti UMNO-BN, media ini juga tidak pro kepada Anwar sejak sekian lama. Antaranya juga adalah media yang terkenal dengan menumpukan kepada hanya berita yang bersifat populis sahaja demi mengejar rating.

Media yang dikuasai oleh individu yang tidak menyukai Anwar, UMNO dan BN seolah dipilih oleh firma penyelidikan O2 Malaysia sebagai alat propaganda supaya rakyat tidak menyukai kerajaan perpaduan dengan menggunakan titik fokus 100 hari sebagai alasan.

Dapatan daripada kajiselidik pihak yang berkenaan hanyalah berjaya mendapat respon 35,077 orang yang mana kita boleh simpulkan sebagai amat gagal kerana mereka adalah “saluran media perdana” dan hanya lebih kurang 7000 responden dari setiap media yang terpilih itu.

Bagaimana firma yang menjalankan kajiselidik rakyat boleh menjadikan angka tersebut sebagai “sample” mewakili keseluruan lebih daripada 30 juta orang rakyat Malaysia?

Angka “sample” ketimbang dengan jumlah populasi rakyat Malaysia hanya 0.11% sahaja dan jika kajiselidik tersebut dijalankan menggunakan kaedah online, perkara utama yang menyebabkan hasil dapatannya diragui adalah faktor pemilik akaun yang masuk klik butang pilihan. Semua sudah maklum, setiap seorang boleh masuk menyertai kajiselidik ini dengan puluhan nama yang berlainan demi mencapai objektif untuk memburukkan nama baik kerajaan perpaduan.

Belum lagi dikira dari sudut isu hangat yang menjadikan topik bualan rakyat dengan terma “isu paling viral”.

Mungkin penganjur kajiselidik sepatutnya menggunakan tajuk “skor kaji selidik isu tular/viral” dan bukannya “skor kepuasan hati rakyat”.

Bagaimana misalnya isu harga telor dan ayam boleh menjadi isu kepuasan hati masyarakat terhadap khidmat yang diberikan oleh kementerian tersebut sedangkan isu tersebut mendapat perhatian bukan sahaja menyebabkan amarah rakyat malah di parlimen, menteri yang bertanggungjawab diserang bukan sahaja oleh ahli parlimen pembangkang malah ahli parlimen dari blok kerajaan juga terpaksa membawa 3 biji telor termasuk telor dari India semata-mata untuk membuat perbandingan harga telor dan menegur menteri yang terkilaf membuat tindakan terburu-buru ke India.

Isu tidak perlu tampal “roadtax” juga hangat diperdebat selain isu kerosakan landasan LRT di stesen Kelana Jaya, lambat membaik pulih eskalator di LRT juga menaikkan darah rakyat.

Begitu juga hari pertama menteri Belia dan Sukan serta timbalan menterinya bertugas teruk dijadikan bahan ketawa rakyat dengan aksi di Stadium Bukit Jalil.

Menteri dengan menu Rahmah juga teruk diperlekehkan sehingga ke hari ini dengan serangan bahawa kementerian gagal mengawal harga barang keperluan harian rakyat dan hanya memfokuskan menu makanan orang bekerja berbanding harga makanan seisi keluarga di rumah.

Kesimpulannya, adakah betul tajuk kaji selidik tersebut?

Bukankah lebih baik ianya bertajuk “kajian kedudukan kementerian mengikut tular pandangan rakyat”? Cuba lihat kementerian mana yang rakyat tidak sentuh atau tiada peluang untuk dijadikan sasaran amarah rakyat. Sepatutnya itulah kementerian yang “walk the talk”.

Atau “kajian untuk melaga-lagakan kerajaan perpaduan”? Kerana inilah motif sebenarnya kaji selidik tersebut dibuat melalui platform media yang tidak menyukai kerajaan pada hari ini.

Setiap isu yang menjadi tular juga adalah naratif yang sengaja dibina supaya rakyat menjadikan kerajaan ini sebagai sasaran melepaskan geram tanpa berfikir panjang. Ini dilakukan demi mencapai objektif politik pihak yang berkepentingan.

Isu harga ayam dan telor akan selesai dan punca kenaikannya bermula sejak Mahathir menjadi PM7 lagi dan masalah bersambung ketika Muhyiddin menjadi PM8 sehinggalah beliau menjadi pengerusi majlis pemulihan ekonomi negara, isu kerosakan landasan LRT dan kemudahannya adalah peninggalan kerajaan terdahulu. Boleh disimpulkan masalah kerajaan terdahulu dipikul sehingga ke hari ini.

Justeru kerajaan perpaduan pada hari ini terpaksa bekerja keras untuk memulihkan ekonomi rakyat dan negara serta di waktu yang sama memperbaiki kesan “kerosakan” dari 3 kerajaan terdahulu terutama apabila wang rakyat “hilang” dengan jumlah yang terlalu banyak di zaman darurat dilancarkan oleh PM8.

Menutup kelemahan pentadbiran yang lalu dengan memburukkan kerajaan pada hari ini adalah strategi politik sahaja dan bukannya kajian bertaraf dunia seperti “fitch rating” dan seumpamanya yang menjadi penanda aras pelabur luar untuk datang ke negara kita.

Kalau setakat 7000 responden bagi setiap saluran media maka adalah lebih baik media yang kononnya arus perdana tersebut membuat sendiri kaji selidik sendiri menggunakan platform percuma yang ada pada aplikasi google dan juga platform facebook. Lebih cepat dan banyak responden termasuk pemilik “akaun hantu” yang boleh dijadikan asas kiraan jumlah responden.

Pilihanraya negeri semakin hampir, geng anti kerajaan perpaduan akan lakukan apa sahaja untuk memanipulasi keadaan sebenar sentimen rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

Percayalah, mereka ini akan keluarkan pula kaji selidik Bajet 2023 yang dapatannya tidak memihak kepada kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *