BUKAN liabititi!
“Tepuk dada tanya akal siuman”. Itu saja yang boleh digambarkan apabila geng broker dikatakan berjaya memburukkan imej Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui konspirasi terancang.
Setiap Presiden UMNO lalui serangan fitnah terancang kerana bagi geng broker politik, kalau kepala mati maka musnahlah keseluruhan pertubuhan.
Asal nama pembangkang maka Presiden UMNO adalah sasaran utama serangan termasuk isteri dan ahli keluarganya.
Mahathir sendiri pun ketika menjadi Presiden UMNO selama 22 tahun, beliau diserang hampir saban hari oleh Lim Kit Siang dari parti DAP. Terlalu banyak “skandal” yang dikatakan melibatkan Mahathir merompak wang rakyat. Paling popular adalah skandal forex yang dikatakan duit rakyat hangus lebih dari RM30 bilion. Kit Siang juga turut membangkitkan banyak syarikat milik kerajaan, GLC, muflis kerana Mahathir. Bukan itu sahaja, Mahathir turut dituduh mengagihkan kekayaan negara kepada kroninya sahaja.
Tetapi apabila Mahathir tidak lagi menjadi Presiden UMNO dan berpakat dengan DAP menentang UMNO BN, Lim Kit Siang menbisu seribu bahasa sehinggalah Mahathir menjadi PM7 mewakili kerajaan Pakatan Harapan yang mana DAP ada di dalamnya. Selama lebih 20 tahun Lim Kit Siang dan DAP menyerang Mahathir tiba-tiba Mahathir menjadi suci di mata mereka.
Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah difitnah konon pentadbirannya dikuasai oleh menantu dan anaknya. Paling terserlah adalah menantunya, Khairy Jamaluddin dituduh membolot projek-projek mega kerajaan melalui syarikat proksinya. Apabila Pak Lah melepaskan jawatan, tiada lagi kedengaran “geng budak tingkat 4” menjarah hasil negara.
Bila Najib Razak naik menggantikan Pak Lah, lagi teruk persepsi buruk dibina oleh geng broker politik. Najib, isteri dan anaknya menjadi bahan serangan yang berakhir dengan Najib dan beberapa pemimpin UMNO BN diheret ke mahkamah dan Najib dihukum penjara. Umpama medan sembelihan pemimpin UMNO BN, ramai pemimpinnya digelar “kluster mahkamah” dan kini mula bebas satu persatu.
Kini, apabila Zahid menjadi Presiden UMNO, ujian lagi besar dari sebelumnya dihadapi bagi yang menduduki kerusi ini. Zahid diugut oleh Mahathir supaya membubarkan UMNO. Muhyiddin membuat kenyataan terbuka bahawa UMNO adalah musuh dan Ismail Sabri bersama geng broker dilihat sebagai penjilat tegar Muhyiddin.
Sehingga kini, Zahid dihina kononnya telah bersalah walaupun kesnya di mahkamah masih berjalan.
Geng broker politik ini tidak pernah letih untuk memburukkan Zahid demi untuk memusnahkan UMNO BN.
Keputusan Lembaga Disiplin UMNO memecat dan menggantung pemimpinnya adalah sebahagian usaha mengeluarkan “musang berbulu ayam” di dalam parti supaya UMNO BN boleh bangkit dan bina kembali keyakinan rakyat. Langkah tepat ini sedikit sebanyak telah mendedahkan siapa sebenarnya geng broker di dalam parti sendiri.
Bayangkan sekiranya Zahid seorang pemimpin yang lemah, wujudkah lagi UMNO?