September 19, 2024

Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap hari ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim mengumumkan kemenangan Abdidin di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna Jawi, malam ini.

Abidin, 56, secara rasmi menang dengan memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.

Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal yang mesra dengan panggilan Abang Bidin menang dengan majoriti 4,267 undi, membolehkan beliau meneruskan legasi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit Allahyarham Nor Zamri Latiff.

Keputusan rasmi itu diperoleh selepas kiraan semua 66 saluran peti undi.

Berdasarkan keputusan kiraan, PH hanya memenangi satu daripada lapan daerah mengundi iaitu Puteri Gunong dengan meraih 3,952 undi, dengan kelebihan tipis 369 undi.

PN menguasai tujuh daerah mengundi dengan memenangi semua sembilan saluran mengundi di Sungai Duri dengan meraih 3,101 atau majoriti 2,056.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap menyaksikan saingan satu lawan satu antara PH dan PN (PAS).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin manakala PN diwakili bekas eksekutif logistik, Abidin Ismail.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *