PETALING JAYA: Polis membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, ketika kempen PRK Kuala Kubu Baharu sedang berjalan setakat ini.
Ketua Polis Hulu Selangor, Ahmad Faizal Tahrim, berkata polis turut menerima tiga laporan berkaitan pilihan raya.
Polis menasihatkan semua calon dan kumpulan penyokong hormati dan patuhi undang-undang, dan tidak membuat sebarang provokasi serta perkara yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.
“Mana-mana pihak boleh merujuk kepada polis untuk tindakan selanjutnya sekiranya ada sebarang permasalahan,” katanya lapor Bernama.
Dalam pada itu, polis meluluskan 28 permit ceramah dan 25 permit kempen setakat ini bagi kempen yang bermula 27 April lepas.
Ahmad berkata kempen yang dilaksanakan parti-parti bertanding berlangsung dalam keadaan harmoni, teratur, dan terkawal.
“Bagi memastikan setiap kempen atau ceramah yang dijalankan mematuhi undang-undang ditetapkan, IPD Hulu Selangor membuat pemantauan di setiap kawasan kempen atau ceramah diadakan.
“Polis meminta supaya situasi berkempen secara sihat ini dikekalkan sehingga tempoh akhir berkempen,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga 11.59 malam, 10 Mei.
PRK kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia), dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee, 58, pada 21 Mac lepas, akibat kanser.
SPR menetapkan 11 Mei sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal pada 7 Mei.