November 19, 2024

PETALING JAYA – Berhajat menunaikan haji sebelum menutup mata, pelakon Wan Maimunah mengakui tergamam sebelum meraung sebaik dimaklumkan bakal menjalani rukun Islam kelima pada 10 Mei ini.

Kata Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 66, panggilan wakil Lembaga Tabung Haji yang diterima sebelum Ramadan merupakan hadiah paling istimewa dan ditunggu-tunggu selama ini.

“Awalnya saya macam tak percaya, tetapi selepas diyakinkan lengkap pengesahan butiran peribadi, baru saya sedar itu bukan gurauan, sekali gus membuatkan saya terlalu sebak.

“Semua ini kuasa tuhan. Doa saya di depan Kaabah ketika mengerjakan umrah dua tahun lalu didengar Allah yang menyebabkan saya tak berhenti menangis.

“Antara sayu, terkejut dan berasa sangat kerdil dijemput secepat ini, perasaan yang berbaur ketika itu sukar untuk saya terjemahkan sehingga saya meraung. Hanya Allah sebaik-baik perancang,”

Walau perlu bersiap sedia dalam tempoh singkat, pelakon air mata itu tidak menganggap perkara tersebut sebagai kekangan.

Bahkan dia bersyukur insan sekeliling terutama anak-anak angkatnya banyak membantu menguruskan hal berkaitan ke tanah suci nanti.

“Tiadalah apa yang perlu dirunsingkan walaupun banyak barang yang belum dikemas lagi tetapi itu bukan isu besar pun sebab ramai bantu.

“Paling penting kita pergi dengan tenang untuk beribadah, jadi kena pastikan jaga kesihatan agar mampu menyempurnakan setiap rukun.

“Tambahan pula saya pergi bersendirian, namun tidak perlu bimbang keadaan saya. Allah jaga saya, jemaah lain pun ramai,” ujarnya.

Pelakon versatil yang menceburi arena lakonan bermula pada tahun 1972 itu turut terharu dan berterima kasih kepada kenalan serta peminat yang tidak putus mendoakan kesejahteraannya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *