December 18, 2024

Kota Bharu: Kerajaan akan membantu pesawah yang mengalami kerugian akibat musim kemarau berpanjangan yang melanda negara ketika ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan melihat bantuan bersesuaian selepas menerima permohonan daripada pihak yang terjejas.

Pada masa sama katanya, kementerian meluluskan pembelian 20 pam air bagi menangani masalah pengairan yang dihadapi pesawah di Kelantan.

“Dalam mesyuarat taklimat pembangunan negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi, kita meluluskan pembelian 20 pam air baharu untuk kegunaan di Kelantan.

“Kelulusan pembelian pam dibuat berdasarkan keperluan semasa. Keadaan kali ini agak teruk memandangkan cuaca panas berterusan.

“Untuk bantuan kepada pesawah yang mengalami kerugian, kita memang ada peruntukan tertentu dan bergantung kepada permohonan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Taklimat Pembangunan Negeri Kelantan yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Terdahulu, Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, fenomena El Nino atau cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka berterusan sehingga Julai.

Menurutnya, terdapat juga ramalan mengatakan tahun ini adalah tahun paling panas selepas 1998, dengan beberapa negeri iaitu Kelantan, Perlis dan Kedah mengalami cuaca yang lebih panas berbanding Kuala Lumpur dan negeri lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *