Seorang wanita warga Tanzania mengeksploitasi rakan senegara sebagai pekerja seks telah ditangkap dalam sebuah serbuan di sebuah pangsapuri pada Isnin yang lalu.
Datuk Ruslin Jusoh, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), mengumumkan bahawa operasi ini dilakukan oleh sebuah pasukan gabungan pegawai dan anggota dari Unit Risikan Operasi Bahagian Atipsom dan Amla, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, pada jam 4.30 petang, 29 Januari yang lalu.
Beliau menyatakan, “Berdasarkan maklumat yang diterima dari Suruhanjaya Tinggi Republik Tanzania di Kuala Lumpur dan hasil risikan yang dijalankan, seorang wanita warga Tanzania berusia 29 tahun telah diselamatkan dalam operasi yang bertujuan membanteras kegiatan perdagangan manusia.”
Ruslin menambahkan bahawa wanita tersebut menjadi mangsa eksploitasi setelah dijanjikan pekerjaan oleh sindiket yang bertanggungjawab atas kemasukannya ke Malaysia.
“Wanita itu dikawal oleh ahli sindiket yang juga warga Tanzania untuk dieksploitasi sebagai pekerja seks selain pasport turut dipegang dan disimpan tanpa kerelaan.
“Mangsa yang diselamatkan kemudian ditempatkan di rumah perlindungan di bawah Arahan Perlindungan Sementara atau Interim Protection Order (IPO),” katanya.
Berhubung serbuan itu, beliau berkata, susulan maklumat diperolehi katanya, pasukan operasi mengenal pasti sebuah rumah di pangsapuri yang dijadikan tempat tinggal ahli sindiket.
“Suspek enggan membuka pintu dan tidak memberikan kerjasama pada awalnya sehingga memaksa pasukan operasi menyerbu masuk ke premis itu.
“Seorang wanita warga Tanzania berusia 32 tahun dikenali sebagai ‘madam’ yang disyaki menyalahgunakan kemudahan pas pelajar dengan menjadi ‘ibu ayam’ berjaya ditahan dalam operasi itu,” katanya.
Menurutnya, modus operandi sindiket itu yang dikenal pasti adalah menjanjikan pekerjaan termasuk peluang untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia.
“Selain itu, ahli sindiket dikesan sering berpindah dari satu kediaman mewah ke kediaman mewah lain bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Katanya, JIM memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.