September 20, 2024

Dalam sejarah UMNO sejak dulu, kebiasaannya ialah Perdana Menteri ialah Presiden UMNO kerana ia dilihat sesuai untuk seorang Perdana Menteri turut menyandang jawatan Presiden parti supaya mampu mengemudi kerajaan dan parti pada masa yang sama.

Sebuah kerajaan akan menjadi kuat bergantung pada kekuatan parti.

Pada masa sekarang, buat pertama kali Presiden dan Perdana Menteri dari UMNO tetapi dua individu berbeza.

Presiden ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi manakala Perdana Menteri ialah Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini adalah kerana beliau dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hasil dari sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat dan bukannya melalui pilihan raya seperti kebiasaan.

Ada cakap-cakap yang berbunyi pada masa ini, Ahmad Zahid perlu memberikan ruang kepada Ismail Sabri untuk menjalankan tugas Presiden kerana beliau ialah seorang Perdana Menteri.

Kenapa Presiden UMNO tidak melihat kepentingan parti lebih jauh dari perjuangan peribadi dirinya sendiri.

Dalam sejarah UMNO, banyak peristiwa yang berlaku apabila Presiden berundur dan menyerahkan jawatan Presiden kepada orang lain apabila sokongan ke atas Presiden dilihat sedikit merosot.

Sejarah paling awal ialah apabila Presiden pertama Datuk Onn Jaafar meletakkan jawatan pada 25 Ogos 1950, Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak Hussein menolak untuk menggantikannya.

Akhirnya Tunku Abdul Rahman Razak dilantik sebagai Presiden UMNO selepas mendapat sokongan Tun Razak.

Semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi pula dipilih sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika itu beliau masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Beberapa minggu selepas itu baru Abdullah dipilih sebagai Presiden apabila Dr Mahathir mengumumkan tidak akan bertanding mempertahankan jawatan Presiden UMNO.

Beliau kemudiannya menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak apabila mengetahui sokongan kepada dirinya sudah berkurangan.

Dalam isu ini sekarang, adakah Ahmad Zahid tidak mempunyai jiwa besar dan ingin memperkuatkan UMNO berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15

Mungkin sudah sampai masa yang sesuai untuk beliau berundur dan mengumumkan untuk tidak bertanding dan mungkin memberi bayangan untuk Ismail Sabri bertanding jawatan berkenaan dan beliau akan menyokongnya.

Dalam UMNO, peranan pemimpin berjiwa besar amat penting untuk pastikan perpaduan di antara ahli akar umbi dan pucuk pimpinan parti kuat dan sukar untuk diancam oleh mana-mana pihak khususnya dari luar parti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *