Oleh LILY JASMINE
AKU ini susah nak percaya cerita misteri. Apa sahaja yang dikaitkan dengan paranomal, aku pandang ringan.
Aku terjah jer kawasan yang orang cakap iidi situ, ada ‘benda’.
Namun kejadian malam minggu lalu, benar-benar mengajar aku agar tidak terlalu berlagak berani.
Padan muka!
Kisahnya bermula begini. Seawal pagi, aku dan rakan setugas, Lea sudah tercegat di pintu masuk bangunan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada Sabtu lalu untuk membuat liputan majlis penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Selesai tugasan itu, kami bergegas ke sebuah homestay dekat sekolah rendah di Kuang.
Rupa-rupanya, homestay itu disewa untuk petugas lelaki.
Kami diminta oleh big boss untuk cari homestay lain.
Petang itu, kami dapat maklumat ada sebuah homestay di tepi tasik masih kosong.
Tanpa berlengah, kami terus menuju ke sana. Lokasi homestay itu terletak dalam laluan kami ke tempat tugasan berikutnya di Bandar Tasik Puteri.
Dalam perjalanan ke homestay tersebut, kami lalu di tepi sebuah tasik.
Itulah Tasik Biru Kundang. Banyak kisah misteri dikaitkan dengan tasik yang merupakan bekas lombong tinggal zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu sekitar tahun 1950-an.
Sejak aktiviti perlombongan dihentikan, setiap hujung minggu, kawasan tasik menjadi tumpuan orang ramai untuk aktiviti rekreasi, bermain jet ski, kayak, memancing dan berehat.
Meskipun persekitaran tasik yang terletak di Kampung Melayu Sri Kundang itu memukau pandangan terutama ketika matahari terbenam, namun pengunjung dinasihatkan berhati-hati ketika melakukan aktiviti kerana tasik itu sudah mengorbankan 46 nyawa.
Antaranya pada 2013, seorang pemain jet ski terbunuh di tasik tersebut.
Biasanya, apabila banyak nyawa melayang di sesebuah kawasan, pasti timbul tanggapan bahawa tempat itu menyimpan misteri tersendiri.
Tidak terkecuali Tasik Biru Kundang yang dikaitkan dengan kisah wanita berambut panjang mengurai terbang melintasi tasik, pontianak dan makhluk halus menyerupai binatang berlegar-legar sekitar tasik termasuk makhluk berwarna hijau.
Kebiasaannya penampakan entiti tersebut dilihat pada waktu Maghrib sehingga tengah malam.
Bagaimanapun, kesahihan cerita yang disebarkan melalui mulut ke mulut itu tidak dapat dipastikan sehinggalah baru-baru ini, Lea ‘diusik’ ketika sedang tidur lena pada malam 29 Julai 2023 yang lalu.
Pada malam itu, saya dan Lea baru selesai tugasan membuat liputan Majlis Pelancaran Jentera & Pengenalan Calon Barisan National (BN) DUN N.13 Kuang, Datuk Hasnal Rezua Merican di tapak pasar malam Medan Puteri, Bandar Tasik Puteri, Rawang.
Kami tiba di homestay di tepi Tasik Biru Kundang sekitar tengah malam.
Aku parkir kereta di satu sudut di tepi tasik dan sempat sekilas pandang ke arah tasik.
Tiba-tiba terasa ada sesuatu, sekali gus membuatkan bulu roma meremang.
Sebaik sahaja pintu kereta ditutup, kami berjalan ke arah homestay dan tiba-tiba, angin sejuk dari tasik bertiup kuat menyapa kami.
Tanpa memandang kiri dan kanan, kami terus masuk ke dalam bilik yang tersedia kemudahan dua katil bujang.
Selepas mandi dan solat Isyak, kami terus tidur kerana penat seharian bertugas sejak pukul 7.00 pagi.
Kepenatan melampau membuatkan aku terus lena sehingga subuh.
Sekitar pukul 6.30 pagi, aku bingkas bangun kerana sudah terlewat untuk solat Subuh.
Lea pun begitu dan sebaik selesai memberi salam dan dalam keadaan masih bertelekung, Lea memandang ke arah aku yang ketika itu sedang melipat selimut.
“Entah siapa…goyang katil saya malam tadi,” kata Lea.
“Goyang macam mana,” soal aku kebingungan.
“Saya rasa katil ni..macam ada orang hayun ke kiri dan ke kanan. Tapi sebab dah penat sangat…,saya buat tak tahu dan terus sambung tidur,” ujar Lea.
Arghhh sudah. Banyak lagi hari nak duduk di homestay ni kerana kami merancang untuk menyewa homestay ini selama dua minggu bagi membuat liputan PRN Selangor sehingga 12 Ogos 2023.
“Emmm…malam tadi masa sampai kat homestay, akak dah terasa lain macam,” kata aku sambil mencadangkan kami berpindah ke homestay lain.
Mujur bayaran penuh belum dibuat dan pemilik homestay pun okey dan tidak kisah kami keluar awal kerana katanya, ada banyak senarai menunggu penyewa untuk menginap di homestay beliau.
Aku kini menginap di sebuah homestay di pekan Kuang sehingga hari pembuangan undi pada 12 Ogos ini.
Dalam pada itu, kotak fikiran aku melayang teringat cerita yang pernah sampai ke halwa telinga ini.
Ada hantu hijau di tasik itu. Mungkinkah yang membuai katil Lea adalah hantu itu? Ada siapa warga Kuang yang tahu? Jomm kongsi cerita.