November 21, 2024

Isu MRSM dijadikan sekolah swasta untuk golongan yang berkemampuan nampaknya menjadi topik hangat dengan pelbagai pandangan sehinggakan ada pihak cuba menjadi juara rakyat dengan membawanya ke parlimen supaya Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jawapan.

Adalah terlalu awal dan remeh apabila cuba mengaitkan bahawa kelak kewujudan MRSM swasta ini dengan penggunaan tanah milik MARA atau MRSM.

Alasan dengan menggunakan jumlah sekolah swasta telah banyak di negara ini juga agak tidak masuk akal kerana mereka lupa tentang ‘jenama’ dan keterlibatan MARA di dalam arus pendidikan anak bangsa selama ini.

MARA sebagai sebuah entiti yang diwujudkan untuk membantu Melayu dan Bumiputra di dalam pelbagai sektor termasuk perniagaan dan juga pendidikan. MARA berjaya melahirkan usahawan dari peringkat skala kecil hinggalah kepada bertaraf korperat dan di dalam bidang pendidikan, MARA melalui MRSM telah membuktikan kejayaan melahirkan ramai graduan bertaraf dunia.

Inilah jenama kukuh yang berjaya dibangunkan oleh MARA menyebabkan nama MRSM sentiasa mengukuh sejak 51 tahun yang lalu. Justeru MRSM adalah produk pembelajaran yang menjadi rebutan sehingga menimbulkan isu begitu sukar untuk memasuki kolej ini. Apabila kemasukan ke MRSM dibuat melalui merit peperiksaan UPSR dan PMR maka kelompongan penapisan pendapatan isi rumah pula menjadi isu dan tapisan akhir adalah peperiksaan khas kemasukan di MRSM. Di peringkat ini yang terpilih adalah “best of the best” dan sekali lagi kategori pendapatan penjaga terlepas pandang.

Perlu diingat, walaupun MARA adalah sebuah agensi di bawah kerajaan sepenuhnya tetapi entiti ini juga perlu mencari dana sendiri untuk menambah pendapatan supaya tidak menghadapi masalah pengurangan bajet akibat kebergantungan penuh kepada kerajaan pusat. Pelaburan yang mampu memberi pulangan yang baik supaya kebolehupayaan menyalurkan semula keuntungan kepada rakyat sentiasa terjamin.

Usaha serius yang ingin dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi wajar mendapat sokongan dari pelbagai pihak kerana ini adalah inisiatif terbaik bagi jenama MRSM itu sendiri dan dengan adanya ‘MRSM swasta’ maka lebih ramai lagi golongan yang sepatutnya mendapat tempat di MRSM biasa. Inilah antara usaha agar keterjaminan dan kesaksamaan semua golongan.

Jangan nafikan hak Melayu dan Bumiputra berstatus T20 yang begitu yakin dengan produk MRSM berbanding dengan sekolah yang setara dengannya.

Usaha Zahid bukan angan Mat Jenin tetapi berdasarkan realiti pencapaian rekod MRSM. Jangan politikkan MRSM hanya kerana ianya milik kerajaan. Lihatlah pencapaian MRSM selama 51 tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *