December 25, 2024

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerima alasan teknikal untuk menolak saman fitnah oleh bekas ketua sekretariat di Jabatan Peguam Negara, V Mabel Muthayyah terhadap pengasas Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown.

Pesuruhjaya Kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan petang ini membatalkan tindakan sivil oleh hakim Mahkamah Sesyen yang telah bersara ke atas tiga artikel, salah satunya adalah artikel Sarawak Report pada 2015 berjudul “How AG’s Office connived to prevent a second postmortem on Kevin Morais – Exclusive exposé”(Bagaimana Pejabat Peguam Negara berkomplot untuk menghalang bedah siasat kedua ke atas Kevin Morais – Pendedahan Eksklusif).

Mahkamah sivil membenarkan bantahan teknikal pihak defendan pada minit akhir kes saman itu.

Pesuruhjaya kehakiman berkata plaintif gagal menterjemah dua daripada tiga artikel yang dipersoalkan ke dalam Bahasa Malaysia, yang menjadi sebahagian syarat untuk pernyataan tuntutan pindaan saman itu.

Bagaimanapun, Mohzanuddin berkata jika bukan kerana bantahan teknikal ini, mahkamah sivil sebaliknya akan membuat keputusan yang memihak kepada Mabel terhadap Rewcastle-Brown dan memerintahkan penulis itu membayar ganti rugi RM1 juta.

Pada Julai 2019, Malaysiakini melaporkan Mabel memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung artikel yang disiarkan portal pemberi maklumat itu.

Dalam pernyataan pembelaannya, Rewcastle-Brown bergantung pada justifikasi dan keistimewaan yang layak untuk menentang tindakan sivil itu.

Mayat Morais ditemui dalam tong dram selepas dia diculik dari keretanya dalam perjalanan ke tempat kerja pada September 2015.

Seorang bekas doktor tentera dan lima rakan sejenayah telah didapati bersalah atas pembunuhannya dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020.

Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati mereka pada Mac tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *