November 18, 2024

KUALA LUMPUR: Pengacara Amin Idris berkongsi status terkini isu rumah tangga yang melanda pelakon Irma Hasmie dan suaminya, Redza Syah Azmeer.

Melalui entri dalam Instagram (IG), Amin berkongsi kenyataan daripada individu yang mendakwa dirinya sebagai sahabat Irma yang mengesahkan hubungan mereka sebagai suami isteri sudah berakhir.

“Assalamualaikum… Untuk menjawab kepada persoalan apakah status mereka (Irma dan Redza) sekarang dan untuk mengelakkan dari terus timbul fitnah.

“Saya dengan ini mewakili sahabat saya ingin mengeluarkan kenyataan (dengan izin dia sendiri).

“Untuk pengetahuan. Mereka sudah sah bercerai 6 bulan lalu. Dengan persoalan sudah terjawab, saya mohon kepada semua beri ruang untuk sahabat saya,” tulis individu dipercayai sahabat kepada Irma bernama Reen Emran.

Kenyataan itu juga menyebut, Irma dalam keadaan baik bersama anak-anaknya, selain bersyukur kehidupannya kini lebih indah dan bakal mengerjakan ibadah haji tidak lama lagi.

“Alhamdulillah, Irma dan anak-anak okay dan sihat sahaja. Allah kurniakan sesuatu yang lebih baik dan indah.

“Insya-Allah, Irma akan mengerjakan ibadah haji tak lama lagi. Mohon semua doakan yang baik baik buat sahabat saya. Terimah kasih semua,” tulisnya.

Terdahulu, hantaran Redza di IG mencetuskan tanda tanya apabila menulis keterangan berkaitan perjalanan baharunya sebagai suami dengan wanita terbabit, selain mendoakan agar orang ramai dipertemukan dengan kebahagiaan yang dicari. 

Sebelum ini, timbul dakwaan rumah tangga Irma dan suami dikatakan sedang dilanda badai susulan jarang memuat naik foto bersama sejak Ogos 2023.

Irma bagaimanapun dilaporkan, enggan bercerita lebih mengenai berita itu sebaliknya memaklumkan dirinya berada dalam keadaan baik.

Untuk rekod, Irma dan Redza mendirikan rumah tangga pada 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *