December 22, 2024

SHAH ALAM: Persembahan Aina Abdul di pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 pada 3 Mac lalu, mungkin hanya mengambil masa kira-kira lima minit tetapi debaran seorang jurutera teknologi yang bertugas menggerakkan “tumbuhan” pada busana penyanyi itu cukup lama.

Nur Aqilah Zainuddin masih ingat berlaku masalah saat akhir apabila akar pada baju berkonsepkan “pohon kehidupan” Aina yang membawakan lagu Jangan Mati Rasa Itu gagal berfungsi walaupun ketika latihan semuanya lancar.

Menurut jurutera teknologi itu, keadaan terbabit berlaku apabila platform menempatkan segala akar pokok berselirat ditolak dari belakang tabir ke pentas utama untuk latihan sebelum siaran secara langsung, mengalami gegaran kuat menyebabkan wayar elektronik putus.

“Tiba-tiba akar itu tak bergerak. Saya cuba bertenang dan yakin untuk latihan kedua akan okey, tapi masih gagal.

“Saya hampir menangis sebab semua orang atas pentas pandang saya. Muka saya tebal waktu itu dan saya hanya cakap ‘bagi Aina menyanyi dulu, baru saya perbaiki’,” kata lulusan sarjana kejuruteraan elektrik Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Aqilah berkata, dia kemudian melekatkan semula wayar, menyusun semula prop, serta melindungi wayar menggunakan span untuk mengelakkan ia bergegar, dan pada masa sama berdoa semuanya lancar.

“Tiba giliran Aina (menyanyi secara langsung) bila saya hidupkan sistem itu, akar itu bergerak. Kami yang berada di tepi pentas ketika itu menangis kegembiraan, perasaan yang tak dapat nak dibayangkan,” katanya yang kali kedua bersama Aiszzy Electronic bekerjasama dengan Aina.

Sebelum itu, mereka bersama menjayakan konsert A Night With Aina Abdul 3.0 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Ketika itu, Aqilah dan kumpulannya berhasil mengeluarkan asap dan bunga yang bergerak pada busana ikonik rekaan pereka fesyen Zaimi Zulkafli, ketika persembahan Aina.

“Saya memang mahu gabungkan teknologi dan seni tapi tak terfikir pun berkolaborasi dengan artis sebenarnya. Alhamdulillah Allah buka pintu untuk saya pergi ke arah situ dan kena dengan jiwa.

“Bukan senang. Bahasa orang seni dengan bahasa orang teknologi tak sama,” katanya yang amat meminati dunia seni dan aktiviti mempertahankan diri taekwando.

Anak kepada pasangan jurutera itu yang memulakan kerjaya dalam bidang kejuruteraan pada 2016 berbekalkan modal RM200 sehingga kini mempunyai sekurang-kurangnya 10 pekerja termasuk pelajar latihan industri.

Aqilah hampir menamatkan kerjayanya dalam bidang ini pada 2020 selepas ibunya meninggal dunia, namun ketika itu, beliau dipelawa menjadi usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan mempelajari selok belok keusahawanan.

“Jurutera ini mereka gemar duduk dalam ruang mereka di belakang tabir, nak tak nak, saya kena keluar dari zon itu dan pada 2021 saya tampil ke media sosial.

“Saya nak tunjuk teknologi gerak kehidupan kita seharian,” katanya yang bercita-cita menubuhkan sebuah institut kejuruteraan bagi melahirkan lebih ramai usahawan teknologi.

Selain kerja-kerja teknologi, Aqilah menerusi Aiszzy Electronic aktif menjalankan perkhidmatan pembangunan projek, projek inovasi, rekabentuk 3D, percetakan 3D, pemotongan laser dan servis latihan serta mengajar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *