December 18, 2024

Lorong Masjid dan Lorong Haji Yaakob di Kampung Gombak yang dijadikan jalan pintas oleh pengguna kenderaan dari Kundang dan Pekan Kuang untuk ke Bukit Rahman Putra dan Sungai Buloh.

Oleh RAJMAH HASAN

Tak kenal maka tak cinta. Hasil rutin wajib program Ziarah Kasih Datuk Hasnal Rezua Merican, semakin ramai mengenali beliau sebagai Calon No. 1 dari Barisan Nasional (BN) bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Kuang.

Berbekalkan hashtag # BNtetapsayang, Ketua UMNO Bahagian Selayang itu lebih terbuka menyantuni penduduk setempat tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Tinjauan Malaysia Hot mendapati program bukan sahaja mendapat sambutan penduduk Kampung Gombak, bahkan berkongsi permasalahan dan harapan mereka terhadap calon yang bertanding kerusi DUN N.13 Kuang.

Perkongsian sebegini secara tidak langsung akan dikumpul dalam senarai wish list yang akan dijadikan keutamaan Hasnal Rezua untuk menyelesaikan masalah penduduk setempat.

Rata-rata penduduk dilihat menyenangi Hasnal Rezua menyantuni mereka dan sempat berkongsi harapan jika beliau menjadi wakil rakyat kelak.

Rozaidi Mohd. Yusof, 52, berkata, Kampung Gombak antara yang termundur dari segi infrastruktur selain masalah perparitan.

“Masalah perparitan dah dibawa ke tengah tapi tak ada tindakan oleh wakil rakyat dulu.

“Tahun ini saja, dah dua kali kampung ini banjir disebabkan masalah perparitan,” kata ketua kampung itu.

Muhammad Riza Abd. Rahim

Sementara itu, Muhammad Riza Abd. Rahim, 43, berkata, masalah trafik sekitar jalan kawasan Kampung Gombak meresahkan penduduk.

“Lorong Masjid dan Lorong Haji Yaakob di kampung ini jadi laluan pintas pengguna kenderaan dari Kundang dan Pekan Kuang untuk ke Bukit Rahman Putra dan laluan ke Sungai Buloh,” katanya sambil memberitahu, ada alternatif jalan pintas lain tetapi melibatkan tanah persendirian.

Zunika Mat Said

Bersetuju dengan Riza, Zunika Mat Said, 55, pula mahu pembinaan bonggol di jalan raya sekitar Kampung Gombak bagi keselamatan penduduk.

“Setidak-tidaknya dengan ada bonggol, kereta tak boleh laju dan membahayakan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Maznah Mohd. Yunos, 67, dari kampung sama pula mengutamakan calon yang cakna dengan keperluan dan kebajikan rakyat.

“Kita mahu wakil rakyat Kuang bertindak responsif dan bukan sekadar tabur janji manis sebab nak undi kami,” kata peniaga nasi lemak itu.

Selain Hasnal Rezua, dua lagi calon bertanding kerusi DUN N.13 Kuang ialah Mohd. Rafiq Abdullah dari Perikatan Nasional (PN) dan Salehudin Amiruddin dari Bebas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *