November 17, 2024

Oleh Lea Azalea

Sudah lima hari sejak pengumuman Mohd. Rafiq Abdullah, calon Bersatu bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Kuang.

Namun dalam tempoh itu, masih belum nampak lagi kelibat Ketua Bersatu Bahagian Selayang, Datuk Azman Yaakob dalam mana-mana aktiviti kempen Rafiq setakat ini.

Tidak mungkin Azman terlalu sibuk dengan urusan parti sehingga tiada masa menjenguk Rafiq yang juga Ketua Bersatu Bahagian Sungai Buloh di Kuang?

Sedangkan beliau dilihat hadir dalam kempen pilihan raya Rejean Kumar Ratnam yang bertanding kerusi DUN N.14 Rawang.

Malah sumber Malaysia Hot memberitahu Azman sudah ‘berkampung’ di Rawang sejak hari penamaan calon pada 29 Julai lalu.

Tindakan Azman itu dikaitkan dengan rasa tidak puas beliau terhadap pencalonan Rafiq untuk bertanding kerusi DUN N.13 Kuang.

Bersatu Bahagian Selayang bergolak selepas parti itu mengetepikan anak tempatan untuk bertanding merebut DUN N.13 Kuang dalam PRN Selangor 2023.

Ia berikutan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan calon N.13 Kuang mewakili Bersatu adalah Rafiq.

Rafiq berasal dari Paya Jaras, Sungai Buloh dan dianggap orang luar oleh penduduk Kuang.

Azman dikatakan tidak dicalonkan kerana didakwa memiliki rekod peribadi yang ‘tidak best’.

Namun penyokong Azman mendakwa tuduhan ‘tidak best’ itu terlalu umum dan tidak patut dijadikan alasan untuk mengetepikan beliau sebagai calon.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *