September 19, 2024

Oleh Fatima

TINDAKAN Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man memberi amaran kononnya Umno akan mengkhianati kawannya apabila parti itu semakin berkuasa adalah satu tuduhan yang tidak berasas dan bersifat baling batu sembunyi tangan.

Perkara tersebut jelas terbukti ketika Muafakat Nasional (MN) terjalin diantara UMNO dan PAS.

Pengkhianat sebenar dalam hubungan tersebut adalah Pas, yang ‘bertunang’ dengan dua pihak yang berbeza. Memetik kenyataan Isham Jalil, mengikut adat apabila bertunang dengan seseorang tetapi tiba-tiba orang itu bertunang dengan orang lain, maka orang yang bertunang dengan orang lain itulah yang sebenarnya pengkhianat.

Pertunangan pertama itu secara automatik terbatal. Lebih-lebih lagi apabila orang itu bertunang pula dengan pengkhianat yang telah mengkhianati pihak pertama, maka berlakulah pertunangan antara dua pengkhianat.

Oleh itu, pemimpin PAS diminta hentikan retorik menuduh pihak lain atas kesalahan yang mereka lakukan.

Pemimpin-pemimpin Pas dilihat sudah keliru dan bercelaru, mungkin disebabkan ‘koyak’ dan rasa bersalah atau mungkin berada dalam sindrom penafian.

Ketika Pas mengulangi pendirian untuk meneruskan kerjasama menerusi MN, UMNO bagaimanapun tidak mempedulikan usaha tersebut kerana Pas secara jelas didakwa telah mengkhianati parti itu. Pengkhianatan itu berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, sekali gus menunjukkan Pas tidak ikhlas untuk bersama UMNO.

Kronologi PAS mengkhianati Piagam Muafakat Nasional

Berdasarkan Minit Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN bagi menyangkal tuduhan bahawa UMNO mengkhianati Piagam Muafakat Nasional. Dan membuktikan sebenarnya PAS adalah pengkhianat sebenar MN.

Dalam Piagam Muafakat Nasional tidak disebut secara khusus bahawa MN dikhaskan hanya kepada parti-parti politik tertentu, namun haruslah selaras dengan aspirasi yang dibawa oleh kedua-dua parti teras yang membentuknya iaitu UMNO dan PAS.

UMNO menyatakan pendirian tidak bersetuju untuk Perikatan Nasional didaftarkan sebagai parti politik apabila idea tersebut kali pertama dibentangkan oleh Muhyiddin Yassin kepada kepimpinan Biro Politik UMNO pada 1 Jun 2020 di kediaman beliau. Alasan UMNO, BN masih lagi relevan dan biarlah PN kekal sebagai satu kerjasama politik longgar 13 parti-parti yang membentuk kerajaan pada 1 Mac 2020.

UMNO bawa cadangan Muhyiddin Yassin kepada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional pada 4 Jun 2020 dan menyatakan pendirian UMNO menolak cadangan tersebut. PAS bersetuju dan menyatakan pendirian yang sama dengan UMNO.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Induk MN pada 17 Jun 2020, sekali lagi isu pendaftaran PN ditimbulkan. Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk MN merangkap Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan pendirian PAS masih kekal tidak bersetuju untuk menyertai Parti Perikatan Nasional sebagaimana UMNO dan menegaskan apa jua keputusan akan dibuat secara bersama.

Dalam mesyuarat yang sama pada 17 Jun itu juga telah disepakati bahawa MN juga tidak perlu didaftarkan sebagaimana PN. MN harus kekal sebagai gagasan permuafakatan dan penyatuan ummah melangkaui parti. Semua parti adalah sama rata kedudukannya.

Mesyuarat pada 8 Julai 2020, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sekali lagi menegaskan bahawa “Kalau UMNO tidak setuju pendaftaran PN dan BERSATU tidak setuju pendaftaran MN, pandangan PAS kita tidak perlu daftar kedua-dua”.

Dalam minit mesyuarat juga Dr Asyraf Wajdi menyatakan pandangan balas terhadap cadangan Dr Zuhdi untuk mendaftarkan MN, “Saya cadang kita kekalkan MN sebagai satu gagasan atau etos dan konsep permuafakatan melangkaui parti. Untuk ia dijadikan parti perlu banyak masa itu. Lebih baik perkasakan dahulu MN”.

Mesyuarat pada 6 Ogos 2020 mencadangkan untuk menjemput PPBM secara rasmi untuk menyertai MN. Dicadangkan juga kedua-dua Presiden UMNO dan PAS mengutuskan surat rasmi jemputan kepada PPBM.

Pada 13 Ogos 2020, satu surat rasmi Jemputan kepada PPBM untuk menyertai MN diutuskan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Presiden PPBM. Surat ini ditandatangani oleh kedua-dua Presiden UMNO dan PAS.

Dalam masa yang sama secara senyap-senyap UMNO mendapat perkhabaran bahawa sebuah Jawatankuasa Penaja Parti Perikatan Nasional telah ditubuhkan yang disertai PPBM, PAS, MIC dan STAR.

9 Ogos 2020, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan media di Awani menafikan PAS menyertai Parti PN dan mengeluarkan sebarang surat sokongan yang menamakan Datuk Seri Samsuri dan Datuk Seri Takiyuddin sebagai wakil PAS dalam Jawatankuasa Penaja Parti PN.

17 Ogos 2020 diumumkan Pilihan Raya Negeri Sabah.

19 Ogos 2020 Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin dilaporkan media bahawa “PAS akan sertai Parti Perikatan Nasional”.

27 Ogos 2020, MIC menarik diri daripada Parti Perikatan Nasional untuk kekal sebagai komponen dalam Barisan Nasional. MIC menulis surat kepada pihak ROS mengenai pendiriannya.

18 November 2020 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN, UMNO menyatakan rasa terkilan namun menghormati keputusan PAS untuk menyertai Parti PN walaupun berkali-kali menafikan dalam beberapa mesyuarat sebelum ini dan dalam kenyataan media.

Mesyuarat juga bersetuju untuk terus mencari jalan untuk memperkukuhkan kerjasama UMNO-PAS dalam MN yang dibina atas linangan air mata di PWTC.

Kesimpulannya PAS adalah pengkhianat sebenar yang tidak jujur dalam permuafakatan yang hendak dibina. Jadi Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man perlu cermin diri sendiri sebelum cuba memfitnah pihak lain sewenang-wenangnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *