December 18, 2024

KAIN rentang bersaiz gergasi memaparkan wajah Datuk Hasnal Rezua Merican jelas kelihatan dari jauh di simpang empat jalan utama ke Kuang.

Oleh ROHANA MAN

KUANG – Persaingan sengit antara calon-calon yang bertanding untuk merebut kerusi DUN N.13 Kuang semakin sengit dan rancak.

Antara tiga calon yang bertanding, hanya dua calon dilihat melancarkan perang kempen pilihan raya yang sengit demi memenangi hati pengundi Kuang.

Dua calon itu ialah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasnal Rezua Merican dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rafiq Abdullah.

Kempen seorang lagi calon yang bertanding atas tiket bebas, Sallehudin Amiruddin dilihat sendu.

Setakat hari keempat berkempen, tiada satu pun kain rentang, bunting atau bendera calon bebas itu dipacak atau digantung di seluruh kawasan DUN Kuang.

Sebaliknya, gendang perang bendera antara BN dan PN sudah mula kedengaran dan semakin panas sejak semalam.

Jentera pilihan raya kedua-dua calon nampaknya bekerja keras memasang kain rentang, bunting dan bendera sehingga tengah malam.

Malah ada bendera yang dipasang tinggi menjulang di puncak tiang lampu.

Tinjauan Malaysia Hot mendapati wajah kedua-dua calon BN dan PN tersebar luas di sepanjang jalan utama, simpang jalan dan lokasi strategik tertentu.

Matlamat penggerak jentera pilihan raya hanya satu iaitu memperkenalkan calon kepada seluruh penduduk tempatan.

Ini sangat penting kerana tiada guna masuk bertanding jika pengundi tidak kenal calon.

Mujur Hasnal Rezua anak tempatan yang lebih dikenali penduduk berbanding Rafiq yang bukan anak tempatan.

Selain itu, saiz kain rentang gergasi yang memaparkan wajah Hasnal Rezua lebih banyak berbanding Rafiq.

Ini membuatkan dari jauh, orang ramai sudah boleh nampak wajah Hasnal Rezua, sekali gus memahat memori bahawa itulah calon yang akan diundi kelak iaitu calon No.1 DUN Kuang.

Tinjauan juga mendapati jentera pilihan raya PN lebih banyak menggantung bendera daripada poster wajah Rafiq.

Mungkinkah PN ada strategi lain dalam memenangi hati pengundi?.Kita tunggu dan lihat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *