December 18, 2024

HAMPIR seminggu Azlan mencari rumah sewa yang sesuai selepas tuan rumahnya memberi tempoh sebulan untuk dia dan keluarganya berpindah.

Tak mudah bagi Azlan untuk mendapatkan tempat tinggal bersesuaian memandangkan dia perlu memikirkan keperluan enam ahli keluarga yang lain.

Namun selepas puas mencari, dia akhirnya bertemu sebuah rumah banglo yang cantik dan selesa untuk didiami semua ahli keluarganya. Paling penting sewanya juga berpatutan!

Bagaimanapun rumah itu sudah lama tidak berpenghuni kerana pemiliknya berasa sayang untuk menyewakan kepada orang lain.

Disebabkan situasi kewangannya yang tidak mengizinkan, ditambah dengan pandemik yang sedang berlaku, tuan rumah itu mengambil keputusan mencari penyewa.

“Jika dilihat, memang tiada siapa sangka rumah itu tidak pernah ada siapa yang duduk… Ia dijaga dengan baik malah pemiliknya memberitahu akan datang sebulan sekali bagi membersihkan rumah,” katanya.

Barang beralih tempat!

Pada awalnya kata Azlan, tiada sebarang perkara pelik berlaku di rumah tersebut namun selepas sebulan mereka menghuni kediaman itu, dia sekeluarga mula mengalami kejadian pelik dan misteri.

Paling biasa katanya, barang yang diletakkan di sesuatu tempat kerap beralih ke tempat lain dan ia merungsingkan semua ahli keluarga.

“Sebagai contoh, saya cermin mata di atas meja sebelum tidur. Tapi bila bangun, saya jumpa cermin mata di tingkat bawah rumah.

“Pada awalnya saya ingat adik-beradik yang usik cermin mata tetapi apabila saya tanya mereka juga mengalami perkara sama iaitu barang beralih tempat,” katanya.

Tidak mahu berfikir bukan-bukan, mereka sekeluarga tidak mengambil serius perkara yang berlaku dan menganggap ia kebetulan.

Adik saya juga pernah nampak saya duduk di dalam bilik tapi sebenarnya saya tiada di rumah ketika itu.

Namun kata Azlan, keadaan semakin pelik apabila pada suatu hari mereka sekeluarga makan malam di luar dan apabila pulang, masing-masing terkejut melihat keadaan rumah yang berselerak.

“Bayangkan, perabot dalam rumah sudah beralih! Sofa senget… kabinet TV jadi melintang malah kerusi meja makan terbalik dan macam-macam lagi.

“Bila tengok pintu dan tingkap, tiada pula tanda-tanda orang pecah masuk… ketika itulah kami sekeluarga mengesyaki ada sesuatu tidak kena dengan rumah itu,” katanya.

Munculkan diri menyerupai ahli keluarga!

Bagaikan satu amaran kata Azlan, sejak itu, ‘benda’ yang menggangu mereka sekeluarga mula mengganas dengan melakukan pelbagai gangguan membuatkan mereka sekeluarga berasa takut.

Paling menyeramkan katanya, ia mula memunculkan diri tetapi tidak dalam rupa sebenar sebaliknya menyerupai ahli keluarganya.

“Saya pernah nampak adik saya masuk bilik air di tingkat atas, tapi bila saya turun ke bawah, saya nampak dia sedang masak di dapur. Adik saya juga pernah nampak saya duduk di dalam bilik tapi sebenarnya saya tiada di rumah ketika itu,” jelasnya.

Tidak cukup dengan itu kata Azlan, ketika semua masuk tidur, maka akan ada ‘pesta’ mengalih perabot di tingkat bawah dan ia bukan sekadar bunyi.

“Apabila kami bangun pagi, perabot memang betul-betul beralih,” katanya.

Selepas berbincang dengan semua ahli keluarga, Azlan memberitahu mereka mengambil keputusan berpindah hanya selepas tiga bulan menyewa di rumah itu.

Meskipun tuan rumah berasa pelik tetapi dia tidak tergamak untuk menceritakan hal sebenar di alami mereka sejak tinggal di rumah tersebut.

“Entah apa misteri rumah itu pun kami tidak tahu. Biarlah ia menjadi memori seram dalam ingatan kami sekeluarga,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *