MELAKA: Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sasaran yang ditetapkan melalui portfolio beliau berjaya mencapai sasaran iaitu jumlah pelaburan dari luar negara sebanyak RM5 bilion.
Sejak Barisan Nasional mengambil alih tampuk kerajaan negeri pada November 2021, Melaka berjaya menyakinkan pelabur bertaraf dunia dari luar untuk datang ke sini.
Melaka banyak menerima pelaburan terutama dari negara Netherland diikuti dari negara Jerman dan negara ketiga terbanyak melabur di sini adalah China.
Menurut Datuk Seri Rauf, sektor automotif, pusat data dan juga pembuatan gelas antara produk pelaburan terbesar di Melaka. Malah Melaka mencatat sejarah apabila kilang lampu LED kereta berjaya menduduki tangga ke empat dunia dan bakal menerima pelaburan berjumlah RM1.3 bilion serta membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada warga tempatan.
Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut menyatakan bahawa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerima dua cadangan pelaburan digital daripada syarikat pelabur China dan menjadikan Melaka sebagai pusat data kedua terbesar selepas Cyberjaya dan akan dibina di Ayer Keroh.
Tambah Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh lagi beberapa buah kilang sedang diperbesarkan termasuk sebuah kilang dari Amerika Syarikat (AS) yang sedang membawa pelaburan baharu berjumlah RM1.4 bilion. Malah kilang dari Jerman juga telah membuat penambahan tapak operasi membabitkan perbelanjaan lebih RM2 bilion.
Walaupun pelaburan di Melaka terkesan sewaktu pandemik, namun kita tetap dapat membawa pelabur masuk. Melaka dikategorikan sebagai lima pilihan teratas untuk pelabur datang ke Malaysia kata Datuk Seri Rauf lagi.
Untuk 2023, Datuk Seri Rauf menganggarkan pertambahan pelaburan sebanyak RM1 bilion, menjadikan sasaran pelaburan dari luar adalah sebanyak RM6 bilion.
Beliau akan mengadakan lawatan kerja ke luar negara seperti Jerman, Jepun dan Korea Selatan pada tahun ini bagi membawa masuk pelaburan dari negara berkenaan ke negeri Melaka sekali gus merealisasikan sasaran pelaburan tersebut.
Menurut Datuk Seri Rauf, setakat ini lebih 150,000 pekerja industri adalah rakyat Melaka yang telah mendapat manfaat daripada pelaburan asing di negeri ini.
Bukan hal yang mudah untuk meyakinkan pelabur luar datang membawa modal yang besar di sini, kata Rauf lagi.