December 18, 2024

Saya membaca dengan teliti penulisan balas Bekas KSUS PM8 Datuk Dr Marzuki yang merangkumi pelbagai hujah dan penafian kepada kenyataan melalui pertanyaan wartawan kepada saya sebelum ini. Suka saya untuk berkongsi sedikit pandangan saya dan bukannya terperangkap dalam “denial syndrom” sepertimana tuduhan Dr Marzuki. Beberapa perkara yang harus kita teliti.

1. Jika kita mahu bercakap soal pemulihan negara pasca pandemik dalam apa jua aspek kita harus melihatnya secara rasional dan tidak hanya terikat dengan satu tajuk ekonomi semata sehingga membandingkan peratusan pencapaian antara PM 8 dan PM9 . Sektor ekonomi merupakan satu sektor atau tajuk besar yang selalu kita lihat dan menjadi ukuran kepada kedudukan negara kita.

2. YAB Perdana Menteri Ke-9 (PM9) DS Ismail Sabri Yaakob mengambil alih kerajaan semasa pandemik masih meruncing.Jumlah jangkitan masih tinggi dan kadar kematian juga mendukacitakan pada masa itu. Semua aktiviti ekonomi zaman PM8 TS Muhyidin Yassin ditutup.Peniaga tidak dapat menyara keluarga mereka.Ramai yang hilang punca pendapatan dan larangan pergerakan ketika itu menjerumuskan ramai rakyat kepada kesusahan. Apabila PM9 mengambil-alih tampuk pemerintahan negara, satu keputusan dan langkah berani atau boleh saya katakan “Nekad” dengan membuka sempadan dan aktiviti ekonomi berdasarkan nasihat setelah kadar vaksinisasi negara mencapai tahap memuaskan demi memastikan rakyat tidak lagi dikurung dan disekat untuk mereka mencari kembali punca pendapatan mereka melalui sektor-sektor tertentu.

Itulah yang dinamakan pemulihan ekonomi berbanding penguncupan ekonomi semasa pandemik .Kita boleh lihat dimana Pemulihan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang positif sebanyak 3.6% bagi suku keempat 2021, 5.0% pada suku pertama 2022, dan 8.9% bagi suku kedua 2022 (pertumbuhan tertinggi di Asia Tenggara bagi tempoh tersebut) berbanding KDNK ketika PM8 yang berada pada tahap (mengucup) -5.6%(negatif) pada tahun berakhir 2020. Sepertimana Laporan Rasmi Kementerian Kewangan. https://www.mof.gov.my/portal/ms/berita/siaran-media 

Semua negara di dunia masih bergerak ke arah pemulihan ekonomi tetapi Malaysia berjaya mengekang dari berlakunya pengucupan ekonomi yang jauh lebih parah apabila sempadan dan pergerakan rakyat terus ditutup ala DARURAT.

3. Saya tidak menyangkal fakta ekonomi sepertimana dimaksudkan oleh Bekas KSUS PM8. Banyak syarikat terpaksa memberhenti pekerja atau mengecilkan operasi kerana tiada permintaan. Menjadi kebiasaan apabila kita baru kembali beroperasi dan memerlukan masa untuk mengembalikan operasi dengan kadar yg semaksimum mungkin. Saya juga tidak menafikan ada pekerja sebelum itu diberhenti atau direhatkan tetapi apabila banyak syarikat dan perusahaan memulakan kembali operasi mereka, kebanyakan syarikat-syarikat terutama yang bertaraf SME mengambil pekerja dengan tangga gaji yang baru demi untuk memastikan operasi berjalan lancar.

“Tidaklah kita kata kita berada dalam “denial syndrome” tapi kerajaan pimpinan PM9 berusaha keras untuk memastikan Keluarga Malaysia terus dibela termasuk melibatkan aspek kebajikan.”

4. Saya tak kata kajian Merdeka Centre atau Ilham Centre salah tetapi saya menekankan bahawa sebelum ini kajian Merdeka Center menyatakan BN akan menang pru14 yg lalu dengan mendahului 100 kerusi berbanding PH 83 kerusi dan akhirnya kita tahu BN tewas dalam PRU14 lepas.Begitu juga Ilham Center juga membuat kajian ketika itu dan membuat jangkaan yang tidak tepat apabila kajian Ilham Center menunjukkan BN mampu merampas Kelantan daripada PAS selain mengekalkan penguasaan di Terengganu dalam PRU14. Sebaliknya berlaku bila PAS menang di Kelantan dan Terengganu. Kajian sepertimana diketahui bersifat berubah-ubah “variable”. Itu tidak lagi kita mengambilkira tujuan kajian tersebut dan siapa yang membiayai kajian yang dibuat. Kita semua faham dalam bab ini.

5. Saya juga melihat dalam pelbagai laporan sepertimana cadangan Bekas KSUS PM8 yang pasti menjadi rujukan dalam saya menjalankan tugas di Pejabat Perdana Menteri.Saya meneliti laporan  yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang juga menjadi rujukan Dr Marzuki ketika beliau menjawat jawatan di Pejabat Perdana Menteri sebelum ini.

Kadar pengangguran negara menurun pada April 2022 iaitu 3.9% berbanding 4.1% pada bulan sebelumnya. Bilangan rakyat bekerja juga mengukuh dengan peningkatan sebanyak 0.4% bulan ke bulan kepada 16.50 juta orang berbanding 16.44 juta orang pada Mac. Ini juga indikator yang tidak boleh dinafikan dan disorok. 

https://www.statistics.gov.my/v1/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=124&bul_id=L2NnM0h0bFc2SGFaRGZEeGxETCtuZz09&menu_id=U3VPMldoYUxzVzFaYmNkWXZteGduZz09

Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) menyemak naik kadar pertumbuhan tahunan industri runcit negara bagi tahun 2022 kepada 13.1% daripada 6.3% sebelum ini berikutan unjuran prestasi lebih kukuh dalam suku kedua 2022. Apakah ini juga fakta yang mahu disorok atau tidak diambilkira oleh Dr Marzuki? https://www.astroawani.com/berita-bisnes/mrca-naikkan-kadar-pertumbuhan-industri-runcit-2022-kepada-131-peratus-367565

Dengan kadar Inflasi 4.4%  jauh rendah dari negara-negara lain kerana subsidi mengekang kenaikan harga misalnya tarif elektrik dan petrol merupakan inisiatif kerajaan yang berterusan demi memastikan rakyat kurang terbeban dan terkesan hasil dari krisis dunia yang mana telah dirasai oleh negara-negara luar tertentu termasuk negara maju seperti Amerika Syarikat(AS) dan United Kingdom.

Akhirulqalam

Apa yang boleh kita katakan ialah Kerajaan Keluarga Malaysia tidak hanya memeluk tubuh atau berdiam diri tidak melakukan apa-apa dalam menangani krisis ekonomi yang bakal melanda banyak negara. Kerajaan berusaha mencari jalan dan kaedah terbaik untuk meminimumkan kesannya dan seharusnya menjadi tanggungjawab kepada semua pihak kepimpinan dalam kerajaan mahupun pembangkang untuk melihat isu dan krisis ini secara bersama dan bukannya melihat dari sudut politik kepartian semata.

Menuding jari dan menuduh kerajaan hari ini “Gagal” bilamana Bekas PM8 masih menjawat jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara dan ditambah dengan jumlah Menteri Kabinet dari PPBM yang masih berada dalam kerajaan hanya akan mengheret satu lagi episod kepada kecamukan politik yang akhirnya boleh membawa kepada ketidakstabilan politik yang pernah berlaku sebelum ini. Usaha menstabilkan politik telah berjaya dicapai sehingga hari ini dan ianya harus dikekakan demi memastikan setiap usaha kerajaan tidak terjejas dan terbantut.

Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad

Setiausaha Politik Perdana Menteri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *